Harga Seekor Harimau Malaya Cecah Rm1 Juta

Sebut saja harimau Malaya sudah pasti akan timbul rasa gerun lebih-lebih lagi jika terserempak dengan haiwan ini di hutan.

Terkenal dengan jolokan ‘pak belang’ haiwan ini begitu sinonim dengan sifatnya yang garang serta liar. Namun haiwan yang menjadi lambang kepada jata negara ini telah di ancam kepupusan. Icon negara kini semakin pupus.

Harimau Malaya (Panthera tigris malayensis atau Panthera tigris jacksoni) atau dikenali sebagai Harimau Belang merujuk kepada subspesies harimau yang hanya didapati di Semenanjung Malaysia.

Harimau ini disahkan sebagai sub-spesies berasingan dari sub-spesies Harimau Indochina (Panthera tigris corbetti) melalui ujian genetik dan filogenik pada tahun 2004. Dianggarkan terdapat 490-510 ekor harimau ini yang hidup liar. Namun kini bilangan harimau ini tak kurang 300 ekor sahaja?

Mengapa harimau Malaya kini diancam kepupusan?

Harimau Malaya mendapat permintaan tinggi di pasaran gelap.

Harga seekor harimau Malaya yang boleh mencecah hampir RM1 juta, selain setiap bahagian tubuhnya mempunyai ‘khasiat’ dan kegunaan tersendiri menyebabkan haiwan itu semakin diancam kepupusan.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, spesies itu mendapat permintaan tinggi dalam pasaran antarabangsa untuk digunakan dalam bidang perubatan tradisional.

Memetik laporan akbar Harian Metro, ketika ditemu bual beliau berkata, hampir keseluruhan bahagian harimau mempunyai kegunaan dan ‘khasiat’ tersendiri, sekali gus menjadikan spesies itu mendapat permintaan tinggi di pasaran gelap.

“Harga haiwan terancam ini boleh mencecah antara ASD150,000 (RM620,000) hingga USD200 (RM827,000). Sebab itu pemburu haram sanggup mengambil risiko memburunya walaupun sedar tindakan yang bakal dihadapi jika tertangkap.

“Ketika ini, di kawasan hutan kita hanya ada kira-kira 350 ekor harimau Malaya berbanding lebih 3,000 ekor sebelum ini di seluruh Malaysia dan jika tiada langkah pemuliharaan, spesis ini akan pupus dalam tempoh 20 tahun akan datang,” katanya selepas merasmikan International Union for Conservation of Nature (IUCN) Symposium and Red List Assessment 2018 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kuala Nerus

Dr Xavier berkata, pihaknya mengambil beberapa inisiatif untuk mengatasi kepupusan itu dalam usaha memastikan negara mempunyai sekurang-kurangnya 500 ekor spesis ini dalam tempoh lima tahun lagi.

Harimau Malaya diklasifikasikan sebagai haiwan sangat terancam

Harimau Malaya sekarang diklasifikasikan oleh Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) pada tahun 2015 sebagai spesies haiwan yang sangat terancam. Populasi harimau Malaya ini didapati mendiami kawasan selatan dan tengah Semenanjung Malaysia.

IUCN yang ditubuhkan pada tahun 1948 adalah satu lembaga status pemuliharaan spesies yang utama di dunia yang menjalankan inventori status pemuliharaan spesies haiwan dan tumbuhan sedunia yang paling menyeluruh.

Kes-kes konflik harimau dan manusia, seperti di Felda Jerangau Barat Terengganu pada tahun 2003, laporan harimau berkeliaran di Jalan Lepar, Gambang, Pahang pada awal tahun ini dan beberapa kes di Kelantan serta di Kuala Krai, Gua Musang dan Jeli pada tahun 2017 dan 2018 telah menimbulkan konflik dalam pemuliharaan harimau di hutan Semenanjung Malaysia.

Kes popular harimau dilanggar di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) di kilometer 321 dekat Paka-Kertih, Terengganu mendapat perhatian ramai.

Laporan terbaharu perburuan haram melibatkan harimau oleh rakyat Vietnam di sebuah premis pekerja kilang papan di Kuala Lipis, Pahang menambah lagi kerisauan dalam pemuliharaan harimau.

Kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam kerja pemuliharaan haiwan liar dari 2010 hingga 2013, melaporkan mereka turut menemukan sebanyak 2,241 jerat dan 1,728 khemah haram.

Kurangkan konflik manusia-harimau

Keberkesanan Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan NTCAP juga perlu dinilai segera terutama melibatkan kawasan fokus pemuliharaan harimau seperti kawasan Kompleks Hutan Belum-Temenggor, Kompleks Hutan Ulu Muda, Banjaran Titiwangsa, Taman Negara dan Taman Negara Endau-Rompin. Penglibatan semua pihak diperlukan dalam membuat penilaian tahunan bagi memastikan perancangan tercapai. Konflik harimau-manusia mesti dikenal pasti dan dikurangkan.

Hal berkaitan seperti perburuan haram, kajian terperinci dan permonitoran tentang konflik harimau-manusia, gangguan habitat, kajian populasi harimau, mangsanya dan kawasan keliaran harimau mesti sentiasa dipantau dan mendapat khidmat pakar.

Program meningkatkan pengetahuan dan kesedaran awam tentang pemuliharaan dan kurangkan konflik harimau-manusia melalui penglibatan komuniti dan program pendidikan, memastikan hutan bersambung untuk pergerakan harimau seperti Central Forest Spines (CFS) yang dicadangkan juga mesti aktif. Masyarakat mesti faham dan kesan aktiviti manusia ke atas alam semula jadi.

Hari Harimau Sedunia disambut pada 29 Julai setiap tahun

Hari Harimau Sedunia disambut pada 29 Julai setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti dunia tentang kepentingan pemuliharaan harimau termasuk harimau Malaya yang sangat terancam.

Sejak tahun 1969 lagi, Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) mengajak seluruh masyarakat antarabangsa menyelamatkan harimau. Dana Sedunia Alam Sekitar (WWF) menyambut baik seruan itu dan melaksanakan di Indonesia, Bhutan, India, Nepal, Bangladesh, Malaysia, and Thailand pada tahun 1970-an.

Kajian-kajian tentang harimau di Malaysia sudah bermula sejak tahun 1960-an lagi.

Kerajaan sedar ancaman terhadap populasi harimau apabila pembukaan tanah secara besar-besaran untuk pertanian dan penempatan masyarakat dilaksanakan. Menerusi tinjauan menggunakan perangkap kamera, populasi harimau Malaya dianggarkan sebanyak antara 250 hingga 340 ekor haiwan dewasa pada tahun 2013.

Jangan lupa like dan shere serta ikuti kami di Facebook.

Sumber: Utusan

Ikuti kami di :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*