Dato’ Meor Abdul Rahman: Kisah Perjalanan Silat Seni Gayong

Adat dan budaya memang tidak dapat dipisahkan terutamanya di kalangan bangsa Melayu. Setiap adatnya diiringi bersama seninya. Begitu juga dengan ilmu pertahanan atau seni bela diri.

Di Malaysia, terdapat lebih 100 seni bela diri. Salah satunya adalah Silat Seni Gayong. Umum mengetahui Silat Seni Gayong merupakan seni mempertahankan diri yang sudah wujud sejak sekian lama di Malaysia. Namun tidak ramai mengetahui liku-liku perjalanan Silat Seni Gayong serta sejarah pengasasnya iaitu Dato’ Meor Abdul Rahman. Lebih-lebih lagi generasi muda.

Untuk menceritakan tentang sejarah Silat Seni Gayong, tidak sempurna kiranya jika tidak berjumpa dengan pewarisnya. Untuk itu, penulis telah datang sendiri ke Wisma Sendo Gayong yang terletak di Ayer kuning, Taiping bagi menemui waris yang masih menyambung warisan kepahlawanan Almarhum Dato’ Meor Abdul Rahman.

Dato’ Meor Abdul Rahman seorang yang berketurunan pahlawan

Almarhum Dato’ Meor Abdul Rahman Bin Daeng Uda Md. Hashim merupakan pengasas perguruan Silat Seni Gayong. Beliau dilahirkan di Kampung Lake Garden Taiping pada 21 Ogos 1915 dan berketurunan Raja Bugis iaitu Daeng Kuning 7 bersaudara yang berhijrah ke Tanah Melayu.

Daeng Kuning 7 bersaudara mendarat di Kuala Larut dan tempat mendarat itu dinamakan Pengkalan Alur atau Relur Tujuh (kini di gelar Ayer Kuning, Taiping Perak).

Almarhum Dato’ Meor mula diajar silat oleh datuknya Syed Zainal Abidin Al Attas ketika berumur 12 tahun bersama dengan 40 orang rakan . Syed Zainal atau Tok Jenai merupakan seorang pendekar Pahang yang terkenal ketika menentang penjajah Inggeris bersama Allahyarham Mat Kilau dan Dato’ Bahaman.

Ayah dan bonda Dato’ Meor. Allahyarham Uda Md. Hashim dan isterinya Sharifah Aluyah. Imej dari onnjadi.tripod.com

(Nota; Selain daripada rujukan di internet, artikel ni juga merujuk nasihat Cikgu Sazali Dato’ Meor Abdul Rahman dan Saudara Jiman cucu Dato’ Meor Abdul Rahman dalam satu sesi interview bersama penulis)

Pada tahun 1931 ketika Dato’ Meor berumur 19 tahun, beliau berjaya menamatkan pelajaran silat dari datuknya namun tidak dikhatamkan. Ini berikutan keengganan Tok Jenai mengkhatamkan Dato’ Meor. Menurut Tok Jenai belum tiba masanya untuk Dato’ Meor dikhatamkan.Satu hari nanti beliau akan dikhatamkan oleh ‘orang ghaib’.

Namun Dato’ Meor terpaksa akur dengan keputusan Tok Jenai walaupun ilmu silatnya berstatus “gantung tak bertali”. Namun beliau masih tertanya-tanya siapakah ‘orang ghaib’ yang dimaksudkan oleh Tok Jenai.

Dato’ meoar dikhatamkan oleh orang ghaib

Peristiwa ini berlaku pada tahun 1936. Ketika itu Dato’ Meor merantau ke Kuala Nerang Kedah. Beliau menumpang dan menetap di rumah kakaknya Hendon dan suami Zainal Abidin, yang merupakan seorang polis.

Di sana beliau sering keluar memburu burung Serindit. Beliau merancang ke Menam yang terletak di Selatan Thailand untuk memburu bersama dengan 7 orang rakan.

Ketika mereka keluar memburu berlaku hujan lebat dan ribut yang kuat. Dato’ Meor terpisah dengan rakan-rakannya. Akibat keletihan beliau berehat dan tertidur di atas sebuah batu hampar besar berwarna hitam.

Dato’ Meor beliau telah bermimpi bertemu dengan seorang tua yang berpakaian hulubalang Melayu zaman dahulu. Dan orang tua itu memperkenalkan dirinya sebagai Hang Tuah.

Orang tua itu berkata pada Dato’ Meor sudah tiba masanya untuk beliau dikhatamkan. Dalam keadaan separa sedar Dato’ Meor diajar dengan ilmu rahsia pendekar zahir dan batin.

Kemuncaknya orang tua itu menyuruh Dato’ Meor mengangakan mulut lalu diludahnya ke dalam mulut Dato Meor sebagai tanda sempurnalah pengkhataman beliau.

Beliau juga diamanatkan supaya mengembangkan ilmu silat dan mengamalkan adat serta pantang-larangnya. Orang tua itu turut mengarahkan supaya Dato’ Meor mengadap Sultan yang memerintah negeri kelahirannya.

Selepas peristiwa itu Dato’ Meor kembali ke Taiping dan mengadap Sultan Perak seperti yang diamanatkan. Dato’ Meor menghadap Sultan Perak Sultan Iskandar Shah di Istana Bukit Chandan untuk menyembah taat setia pada Sultan Perak.

Peristiwa mengadap Sultan

Istana Kenangan Bukit Chandan Kuala Kangsar Perak. Imej dari orangperak.com

Di Istana Bukit Chandan, Dato’ Meor mempersembahkan silatnya. Sultan Perak menitahkan supaya Dato’ Meor mengangkat sebuah meriam yang ada di Istana. Lalu, dengan izin Allah Dato’ Meor telah berjaya.

Sultan Perak berpuas hati kemudian memberikan gelaran “Orang Sendo Perak” yang membawa maksud Orang Kuat Perak. Sultan Perak kemudian berkenan mengambil Dato’ Meor sebagai anak angkat dan tinggal di Istana Bukit Chandan. Namun pada tahun 1938 Sultan Iskandar telah mangkat dan Dato’ Meor balik semula ke kampung halamannya di Taiping.

Pertembungan Dato’ Meor dengan tentera Jepun Di Pulau Sudong

Pulau Sudong pada tahun 1950an pernah jadi perkampungan Melayu

Pada tahun 1939 Dato’ Meor berhijrah ke Singapura untuk bekerja. Beliau bekerja di Navy Base sebagai mekanik sebelum bekerja di Gilman Barrack.

Ketika di Gillman Barrack beliau dipilih menjadi guru Kombat (Combat Instructor) untuk ahli-ahli Signal Corps British. Menjadikan Dato’ Meor orang Melayu pertama sebagai jurulatih kombat untuk Signal Corps.

Pada tahun 1942 berlakunya penaklukan Jepun di Singapura, Dato’ Meor dan keluarganya diarahkan untuk meninggalkan Singapura dan berpindah ke Pulau Sudong. Mereka menetap di sana setelah diterima oleh penduduk tempatan.

Pulau Sudong merupakan sebuah pulau karang yang cuma berkeluasan 209 hektar dan ada perkampungan orang Melayu ketika itu. Kini Pulau Sudong telah dimiliki oleh Tentera Singapura kerana pulau ini sebahagian dari perairan Singapura.

Ketika di Pulau Sudong telah berlaku satu peristiwa penting dan bersejarah. Setelah seminggu Dato’ Meor dan keluarga tinggal di sana, mereka telah mendapat berita tentera Jepun akan berlabuh di Pulau Sudong. Orang kampung pulau tersebut mula bimbang dengan kehadiran tentera Jepun.

Dato’ Meor diberi kepercayaan untuk melindungi pulau tersebut dan beliau bersetuju namun dengan syarat orang Pulau Sudong perlu masuk gayong.

Pada pagi 17 Februari 1942 ketika di rumah Penghulu Pulau Sudong, Dato’ Meor telah memperlimaukan 7 orang pemuda Pulau Sudong dan secara tak langsung mereka adalah orang terawal sebagai ahli Gayong

Dato’ Meor telah merancang strategi, beliau mengarahkan supaya semua wanita dan anak dara berlindung di rumahnya yang dah dibacakan doa dan mereka bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Rumah-rumah digeledah, dan ketika tiba di rumah Dato’ Meor alangkah terkejutnya tentera Jepun bila melihat perempuan-perempuan dalam rumah itu betukar menjadi hodoh dan buruk. Bertempiaran lari tentera Jepun meninggalkan Pulau Sudong.

Merebaknya Seni Silat Gayong ke Studio Jalan Ampas hingga ke Tanah Melayu

Gambar Dato’ Meor dengan Kasma Booty. Imej dari kerislok7.blogsopt

Pada tahun 1947 Dato’ Meor dan keluarganya telah kembali ke Singapura dan dipelawa bekerja di Malayan Secret Service. Pada 23 Disember 1947, Dato’ Meor dikurniakan Pingat Keberanian oleh King George VI atas keberanian beliau menentang penjajahan Jepun dan juga jasa beliau ketika menjadi jurulatih kombat untuk Signal Corps British.

(Nota: Penulis melihat sendiri watikah dari King George IV tetapi tidak dapat disiarkan atas permintaan Cikgu Sazali)

Pada tahun 1955 Silat Seni Gayong telah berkembang ke sekitar Singapura hingga ke Studio Jalan Ampas. Antara yang belajar Gayong adalah selebriti terkenal ketika itu seperti Nordin Ahmad dan Kasma Booty. Kasma Booty merupakan wanita pertama yang diuji berjalan atas bara api dan tangan dikelar dengan pisau

Perlantikan Dato’ Onn Jaafar sebagai Penasihat dan Waris Beradat

Dato’ Meor dan Dato’ Onn Jaafar. Dato’ Onn sebagai Penasihat Gayong. Imej dari onnjadi.tripod.com

Pada tahun 1961, Dato’ Meor telah bersara daripada polis. Sejak bersara, beliau menumpukan sepenuhnya pada pengembangan Silat Seni Gayong. Sebelum itu pada tahun 1959 Dato’ Onn Jaafar telah melamar diri untuk menjadi ahli Gayong.

Dato’ Onn telah dilantik oleh Dato’ Meor sebagai Penasihat dan Waris Beradat Gayong. Dato’ Onn pula bertanggungjawab dalam merangka perlembagaan Gayong kerana Dato’ Onn ingin mendaftarkan Silat Seni Gayong di ROS sebagai sebuah pertubuhan.

Pada 22 Oktober 1963 ROS telah meluluskan pendaftaran Silat Seni Gayong sebagai sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Pertubuhan Silat Seni Gayong dengan nombor pendaftaran 361.

Silat Seni Gayong bergerak sebagai sebuah pertubuhan, aktiviti Pertubuhan ini dapat berjalan secara sistematik dan secara tak lansung dapat berkembang pesat.


Sijil pendaftaran pertubuhan dari ROS. Imej dari MaajooMedia

Dato’ Meor tidak berhasrat bawa Gayong ke Kedah bagi menghormati ramai Pendekar yang handal di Kedah

Dato’ Meor bersama Sultan Kedah Sultan Badli Shah (tengah) dan Tengku Kassim

Semenjak tahun 1957 lagi Tengku Kassim, Tengku Laksamana Kedah telah datang bertemu Dato’ Meor di Singapura untuk memujuk Dato’ Meor membawa Silat Gayong ke Kedah.

Namun beliau menolak demi menghormati para Pendekar yang handal-handal di Kedah.Namun, titah Sultan juga perlu dijunjung. Beliau kemudian membawa rombongan seramai 43 orang dari Singapura ke Kedah bagi mempersembahkan Silat Seni Gayong pada Sultan Kedah di Sultan Abdul Hamid Sport Club.

Sejak diluluskan oleh ROS pada 1963 Dato’ Meor kemudian membawa Gayong ke Kedah. Mesyuarat Agong diadakan di Gurun Kedah dan Dato’ Meor sebagai Yang Di Pertua manakala abangnya Meor Abdul Aziz sebagai Naib Yang Di Pertua.

Pada tahun 1964 Pusat Latihan Tertinggi Silat Seni Gayong berpindah dari Woodlands, Singapura ke Kota Sarang Semut, Kedah. Tetapi, upacara adat istiadat akan dijalankan di Ayer Kuning, Taiping. Pada tahun itu juga Gayong Perdana yang pertama telah diadakan di Stadium Darul Aman Alor Setar dan dirasmikan oleh Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Muadzam Syah.

Penubuhan pusat latihan Gayong terawal di Selangor

Ahli-ahli Gayong membaca Ikrar pada Yang Mulia Sultan Selangor di Istana Alam Klang. Imek dari maajoomedia

Pada tahun 1969 Dato’ Meor telah menetap di Ayer Kuning Taiping, ibarat “Sirih Pulang Ke Gangang”. Silat Seni Gayong semakin berkembang hingga ke Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Di Selangor Datuk Harun Hj Idris telah di angkat menjadi Imam Khalifah Selangor dan Dewan Belia Kampung Pandan menjadi pusat latihan Gayong yang terawal di Selangor.

Sultan Perak Sultan Idris Shah sebagai Penaung Agung Silat Seni Gayong

Pada tahun 1970 Balai Adat Pertubuhan Silat Seni Gayong(PSSGM) telah dibentuk di Ayer Kuning Perak. Setahun kemudian Balai Adat dan Pusat Latihan Tertinggi PSSGM dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Idris Shah. Baginda bersetuju menjadi Penaung Agung Silat Seni Gayong Malaysia. Sultan Perak pernah bertitah:

” Silat Seni Gayong yang sentiasa berdiri tegak bersedia menghadapi sebarang cabaran. Beta berasa amat sukacita juga yang mana rakyat beta di negeri Perak khasnya dan rakyat Gayong keseluruhannya telah ditumpahkan oleh Mahaguru Silat Seni Gayong.”- Titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak selaku Penaung Agung Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia.

Atas jasa dan tokoh kepahlawanan Dato’ Meor telah dianugerahkan darjah kebesaran Dato’ Paduka Chura Simanjakini(DPCM) oleh Sultan Perak(membawa gelaran Dato’) dan Dato’ Meor pula menggelarkan Sultan Perak, Sultan Idris Shah dengan gelaran Sang Sapurba Negara.

Pada tahun yang sama juga Silat Seni Gayong telah diperkenalkan pada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai tempur tanpa senjata.

“Di antara kebanyakan seni-seni mempertahankan diri ini, Angkatan Tentera telah memilih untuk mengakui dengan rasminya Silat Seni Gayong ini. Ajaran silat tanpa menggunakan senjata ini adalah difikirkan sangat penting dalam Angkatan Tentera” – Ketua Turus Tentera Darat Tan Sri Dato Ungku Nazaruddin.

Warisan Silat Seni Gayong

Cikgu Sazali pemegang Amanah Silat Seni Gayong menunjukkan seni yang terdapat pada Gayong kepada penulis. Imej dari maajoomedia

Cikgu Sazali merupakan anak Dato’ Meor Abdul Rahman, beliau adalah Pemegang Waris Amanah Mutlak Silat Seni Gayong selepas kakaknya Cikgu Siti Kalsom. Cikgu Sazali masih bergiat aktif dalam Pertubuhan Silat Seni Gayong.

“Gayong juga bersendikan seni dan adat, adat di utamakan. daripada senilah kita akan memusnahkan musuh, apa itu Gayong iaitu Ga Alif Ya Wau Nga, genggam, angkat, yakin, waras, ngeri. Seni juga salah satu bisa dalam permainan Gayong kerana pukulan, sauk, tangkap-menangkap lompatan dari senilah kita akan dapat pelajaran Silat Seni Gayong” – Cikgu Sazali Dato Meor Abdul Rahman.

Selepas Dato’ Meor Abdul Rahman kembali ke Rahmatullah pada Jun 1991 akibat sakit tua pemergian Almarhum sangat dirasai, lebih-lebih lagi cucunya, saudara Jiman.

“Almarhum datuk saya ni seorang yang tegas dan garang, beliau sangat tegas dalam bab bersilat. dengan cucu pun sama saja layanannya masa berlatih silat, katanya benda ni tak boleh main-main. tapi bila di rumah beliau macam biasa, sama seperti orang lain, layanan dia pada cucu dan anak, boleh bergurau, tapi dalam silat beliau sangat tegas”- Saudara Jiman ni sempat berguru dengan Almarhum Dato’ Meor sendiri masa berumur 10 tahun.

Cikgu Sazali bersama Anak Gayong dari kiri Ustaz Firdaus, Cikgu Sazali, Saudara Jiman dan Saudara Shukri di Wisma Sendo Gayong yang terletak di Ayer Kuning Taiping. Imej dari maajoomedia

Kini Pertubuhan Silat Seni Gayong dikenali hingga ke benua Eropah. Jasa Dato’ Meor Abdul Rahman memang tidak boleh disangkal lagi. Beliau menjalani hidup sebagai seorang pendekar dengan cekal dan tabah sehingga Silat Seni Gayong berkembang ke serata dunia. Begitu juga Anak Gayong yang terkenal dengan disiplin yang tinggi dan sangat merendah diri.

Makam Almarhum Dato’ Meor Abdul Rahman yang terletak di Masjid Lama Taiping

“Pecah Gayong Di Dalam Dulang, Dulang Hanyut Di Lautan Tujuh, Pecah Gayong Perpecahan Sayang, Di satu Masa Kembali Berteguh”- Almarhum Dato’ Meor Abdul Rahman.

Jangan lupa like dan shere serta ikuti kami di Facebook.

Video (I) : PERHIMPUNAN SENDO GAYONG SEDUNIA 2018 (22-23 Disember 2018)

Sumber: Cikgu Sazali Dato Meor Abdul Rahman, Wisma Sendo Perak, onnjadi.tipod.com


Ikuti kami di :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*