Rawatan resdung

Rawatan resdung

Menjalani rawatan menggunakan asap adalah kaedah tradisional popular dalam kalangan pesakit resdung. Ia menggunakan kain putih yang dinyalakan api sambil diletakkan pada keseluruhan muka secara berperingkat.

Selepas habis rawatan, akan ‘timbul’ habuk halus kekuningan yang didakwa habuk resdung.

Ada juga mengatakan rawatan ini akan mengeluarkan ulat resdung menerusi kulit muka.

Pakar Runding Telinga, Hidung, Tekak (ENT) Kepala dan Pembedahan Leher, Dr Malina Sivarajasingam berkata, berdasarkan pengalaman setakat ini dia belum pernah melihat ulat keluar menerusi kulit disebabkan resdung.

Katanya, jika ada ia hanya berlaku kepada mereka yang mengalami kanser hidung saja.

“Jadi apabila memperkatakan mengenai rawatan tradisional resdung sukar untuk diakui keberkesanannya.

“Malah dalam sesetengah kes ia boleh menyebabkan masalah pernafasan bagi pesakit asma,” katanya.

Resdung atau sinusitis adalah satu masalah lazim di seluruh dunia. Di Malaysia, dianggarkan 60 hingga 65 peratus penduduk mengalami resdung.

Bagaimanapun, daripada jumlah ini kurang 50 peratus mendapatkan rawatan dan ramai tidak mahu berjumpa doktor kerana menganggap gejala resdung hanya selesema atau alahan biasa.

“Sebenarnya terdapat perbezaan antara resdung dan selesema, walaupun mempunyai tanda yang hampir sama iaitu hidung berair dan kerap bersin.

“Apa yang membezakannya selesema akan hilang selepas menjalani rawatan menerusi pengambilan ubat-ubatan.

“Ia akan datang semula dalam jangka masa yang lama. Berbeza dengan resdung kerana ia akan hadir secara kerap terutama apabila seseorang itu terdedah kepada alergen yang menyebabkan resdung,” katanya.

DR Malina.

Merujuk perubatan moden, resdung adalah radang pada lapisan membran meliputi dinding ruang sinus.

Ia berpunca daripada jangkitan kuman atau virus, alergi atau kelemahan sistem imun badan seseorang.

“Keadaan ini menyebabkan pesakit resdung menjadi lebih sensitif kepada persekitaran seperti habuk, bulu binatang, perubahan cuaca terutama sejuk, pencemaran alam sekitar dan jangkitan bakteria atau virus.

“Apabila ini berlaku penghidap resdung akan mengalami gejala selesema seperti hidung tersumbat, rasa sakit pada pipi, sekitar mata dan kepala. Ini banyak berlaku terutama waktu pagi,” katanya.

Walaupun gejala ini tidak mendatangkan masalah serius tetapi ia memberi kesan kepada gaya hidup dan keyakinan diri seseorang.

Bayangkan apabila selesema berlanjutan tanpa mengira waktu. Sudah tentu ia mengganggu rutin harian di pejabat. Cecair kerap mengalir menerusi hidung, mata menjadi merah dan telinga berasa gatal.

Rawatan

Menurut Dr Malina, resdung boleh dirawat menggunakan ubat-ubatan seperti antibiotik, antihistamin atau ubat analgesik bagi mengurangkan radangan. Selain meminimumkan alahan, ubat-ubatan ini berfungsi untuk membuka ostia (ruang) tersumbat.

“Kebanyakan sinus dapat diredakan dengan rawatan menerusi antibiotik yang berfungsi untuk membunuh kuman yang sedang membiak.

“Sebaliknya, jika tidak dapat dirawat dengan ubat-ubatan, pesakit perlulah dirujuk kepada pakar,” katanya.

Menurutnya, pakar ENT akan menggunakan endoskop dan meletakkan ubat-ubatan di pintu ostia terus masuk ke rongga hidung untuk membuka ostia ini.

Bagaimanapun, sekiranya prosedur ini tidak berjaya, doktor terpaksa melakukan pembedahan kecil iaitu dengan menusuk jarum masuk ke dalam rongga sinus maksila dan menyembur air untuk mengeluar dan membasuh rongga sinus. Melalui kaedah ini, ia dapat melegakan sakit yang dialami serta-merta dalam tempoh 24 jam.

Selain itu kaedah terbaru dalam rawatan sinus menerusi pembedahan yang dikenali sebagai pembedahan endoskopi sinus untuk membesarkan pintu ostia.

“Menerusi kaedah ini, doktor dapat melihat lebih dekat pintu ostia dan faktor penyebab resdung. Ini kerana punca-punca inilah yang menyebabkan ostia tersumbat. Kaedah pembedahan ini bukan saja dapat membuka ostia menjadi lebih besar, malah ia dapat membesarkan pintu ini supaya ia tidak tersumbat lagi,” katanya.

Menurut Dr Malina, jika tidak dirawat resdung akan memberi kesan serius kepada penghidap sama ada kanak-kanak atau dewasa.

Antaranya boleh merebak ke dalam mata hingga menyebabkan jangkitan bakteria dan mata bernanah. Dalam kes sangat kronik, resdung boleh menyebabkan buta.

RESDUNG menyebabkan kurang keyakinan diri dan mengganggu rutin harian.

Bagi orang dewasa pula, resdung kronik boleh menyebabkan nanah bertakung dalam ruang sinus hadapan.

Jika nanah tidak dapat dikeluarkan dari hidung, ia boleh dipenuhi bakteria. Risikonya, bakteria ini boleh memasuki otak dan menyebabkan jangkitan pada otak atau meningitis dan jika dibiarkan boleh membawa maut.

Tambah Dr Malina lagi, terdapat kaitan antara resdung dan penghidap asma kerana hidung dan organ paru-paru bersambung.

Oleh itu pesakit yang mengalami kedua-dua masalah ini dinasihatkan mengawal resdung mereka kerana jika resdung terkawal, secara umumnya masalah asma juga akan berada dalam keadaan baik.

“Rawatan awal boleh dilakukan menggunakan semburan hidung yang berterusan sehingga pesakit sembuh atau mengambil ubat secara oral,” jelasnya.

Tip kawal resdung

• Elak memelihara binatang berbulu.

• Jangan guna sarung bantal, cadar dan selimut diperbuat daripada bulu binatang.

• Bersihkan permaidani dengan penyedut hampa gas.

• Pakai penutup hidung ketika mengemas rumah.

• Minum banyak air suam atau mineral.

• Lap muka dengan tuala basah dan air suam.

• Elak makan makanan laut seperti udang, sotong dan kerang.

Simptom

• Batuk hingga kerongkong dan anak tekak gatal.

• Telinga gatal dan sering tersumbat.

• Lelehan air atau mukus keluar melalui hidung.

• Gatal mata apabila digaru, menjadi merah berair.

• Bersin melampau dan terlalu kerap.

• Simptom paling ketara apabila hidung kerap tersumbat dengan lendir dan kahak hingga sukar dihembus keluar. Akibatnya, suara penghidap menjadi sengau.

Sumber : Metro

Ikuti kami di :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*