‘Makcik nak tengok muka siapa yang buat Adib’- Ibu

Wajah sugul Asma Aziz benar-benar sukar disembunyikan. Maklum, baru semalam wanita itu melepaskan anaknya, Muhammad Adib Mohd Kassim kembali bertemu Sang Pencipta.

Kerinduan Asma terhadap Adib terlalu sukar untuk diterjemah dengan kata-kata sehinggakan tidur malamnya juga terganggu.

Selera makan juga tiada, hanya air saja yang mampu diteguknya sejak dari detik pertama menerima berita kematian anak kesayangan.

Selepas 24 jam Adib dikebumikan, Asma masih belum mampu mengunjungi pusara anaknya itu lantaran tiada kekuatan untuk melangkah ke tanah perkuburan.

Di mata Asma kini tidak lekang terbayang keperibadian dan pekerti Adib yang sangat menawan. Rasa hormat dan kasih Adib pada keluarga tidak mampu diukur dengan wang ringgit.

“Apa-apa sahaja dia nak buat, pasti dia akan bertanya kami… dia memang seorang yang tidak banyak bercakap namun rapat dengan kami termasuk abang dan dua adik perempuannya,” kata Asma berkongsi luahan rasa kepada sekumpulan wartawan ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah hari ini.

erusaha memujuk hatinya menjadi kuat dan menerima takdir yang telah ditentukan buat dia dan seluruh anggota keluarga, Asma bagaimanapun, masih belum mampu mengusir pertanyaan kenapa sekejam itu anaknya diperlakukan?

Asma benar-benar bingung. Yang diharapkan wanita berusia 51 tahun itu ialah, arwah anaknya diberikan keadilan yang sewajarnya.

Paling utama juga, Asma mahu melihat wajah-wajah pelaku yang tergamak memperlakukan anaknya sehingga pergi membawa seluruh kekuatan dan kasih sayang mereka sekeluarga.

“’Mak cik nak tengok juga muka sapa yang buat Adib… tergamak buat anak makcik sampai macam itu sekali. Nak tengok muka orang yang kejam ini. Makcik harap hukuman setimpal dikenakan dengan apa yang telah mereka lakukan terhadap Muhammad Adib,” kata Asma meluah perasaan yang bersarang di fikiran.

Hati Asma tidak tenang selagi pelaku tidak dijatuhkan hukuman berat bagi memberi pengajaran atas doa seluruh rakyat Malaysia.

Seperti seluruh rakyat Malaysia yang mahu dalang di sebalik kejadian rusuhan itu dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin, Asma juga mengharapkan, perkara yang serupa kerana dia secara peribadi sukar untuk memaafkan pelakon sekalipun reda dengan pemergian Muhammad Adib.

“Tapi sekarang siapa nak mengaku kan (bunuh Muhammad Adib?” soalnya sambil air mata bergenang.

Muhammad Adib, 24, seorang anggota bomba menghembuskan nafas terakhir pada 9.41 malam Isnin (17 Disember) selepas bertarung nyawa akibat dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Allahyarham yang sepatutnya mendirikan rumah tangga dengan Nurul Najihah Radzi pada 22 Disember ini meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

 

Sumber : Awani

Ikuti kami di :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*