Akhirnya Honda pecat kakitangan hina kematian Adib

Akhirnya Honda pecat kakitangan hina kematian Adib

Kakitangan pusat jualan kenderaan Honda Malaysia di cawangan Sri Utama Auto Sdn. Bhd. yang meninggalkan komen tidak sensitif berhubung kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, telah dipecat serta-merta

Sebelum ini, perkhidmatan wanita itu digantung sementara bagi memberi peluang kepada pengurusan syarikat itu mengadakan siasatan dalaman.

“Kami ingin memberi makluman bahawa selepas siasatan dalaman dijalankan dan pekerja itu didapati melanggar dasar syarikat dengan salah lakunya, khidmat pekerja itu dengan Sri Utama Auto Sdn Bhd sudah ditamatkan serta-merta,” kata pengarah pusat edaran itu Wong Chee Keong dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Chee Keong berkata, pihaknya memohon maaf di atas kesan yang berpunca daripada komen kakitangannya itu.

“Kami akan lebih memberi perhatian dalam melatih dan mendidik pekerja kami dengan nilai moral dan sikap hormat kepada semua pihak pada setiap masa,” katanya lagi.

Syarikat pengedar kereta itu sebelum ini tampil memohon maaf kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib di atas komen yang ditinggalkan oleh salah seorang kakitangannya, Caryn Yean di laman sosial Facebook.

Pada 18 Disember lalu, Caryn didakwa mempersendakan kematian Muhammad Adib dengan mengaitkan tragedi yang menimpa anggota bomba itu dengan kepercayaan agama.

Ekoran itu, komennya di media sosial menjadi tular dan mencetuskan rasa kurang senang daripada netizen.

Allahyarham Adib, 24, meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah akibat diserang susulan insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November lalu.

Adib merupakan salah seorang anggota penyelamat yang ditugaskan selepas sejumlah kenderaan dibakar ketika rusuhan di kuil berkenaan.

Sumber : Awani

Ikuti kami di :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*