
Selepas Bandar Taiping diiktiraf sebagai bandar warisan apabila Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menyenaraikan 31 bangunan dan tempat di bandar itu sebagai tertua di Malaysia kini Taman Tasik Taiping pula tersenarai antara 100 destinasi terbaik pelancongan eko dunia dalam Green Destination ITB Award 2018.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Datuk Abd Rahim Md Ariff berkata, pada 21 Disember lalu, pihaknya menerima e-mel yang telah memaklumkan mengenai kejayaan itu. Menurut beliau, Taiping adalah satu-satunya bandar yang mewakili negeri Perak serta Malaysia.
Bagi warga Taiping, pengiktirafan ini menjadi satu kebanggaan kerana Taman Tasik Taiping bukan sahaja sebuah taman rekriasi yang indah malah merupakan salah satu tempat nostalgia bagi penduduknya.
Anugerah itu dikendalikan oleh ‘Green Destination Foundation’ yang berpangkalan di Netherland.

Abd Rahim berkata, usaha MPT untuk mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa dalam sebarang aktiviti atau program diteruskan pada tahun 2018.
Sebelum ini, Taiping telah menerima Sijil Pematuhan ASEAN Clean Tourist City (ACTC) Standard 2017 pada Disember tahun lalu.
Menurutnya, pada awal tahun ini, MPT telah mendaftar untuk menyertai Green Destination Award 2018 bagi kategori ‘Destination Management’.
Anugerah itu dikendalikan oleh ‘Green Destination Foundation’ dan adalah satu inisiatif kerjasama ‘Green Destinations, European Centre for Eco & Agro Tourism (ECEAT) dan Coastal & Marine Union – EUCC yang berpangkalan di Netherland.
Taman awam tertua di Malaysia
Menurut catatan sejarah, bandar Taiping yang nama asalnya Klian Pauh, telah dibangunkan oleh penjajah Inggeris pada tahun 1880-an kerana daerah ini kaya dengan bijih timah di sekitar Sungai Larut.
Idea untuk mewujudkan taman awam untuk penduduk Taiping ini asalnya daripada Kolonel Robert Sandilands Frowd Walker.
Pembangunan Taman Tasik Taiping ini telah dilaksanakan oleh Charles Compton Reade (1880–1933), yang mana beliau juga bertanggungjawab merancang untuk membina Taman Kuala Lumpur (sekarang Taman Botani Kuala Lumpur) bersama dengan Lady Swettenham.
Lombong bijih timah yang terbiar telah didermakan oleh Chung Thye Phin untuk tujuan dijadikan kawasan rekreasi bagi kegunaan orang awam. Pada tahun 1884, taman tasik ini telah ditanam dengan rumput, pokok-pokok bunga dan pokok-pokok hiasan.
Kawasan seluas 64 hektar (160 ekar) merupakan taman awam pertama di Tanah Melayu dan dihargai kerana keindahannya yang telah dijaga dengan rapi semenjak taman tersebut dibuka.
Terdapat 10 kolam dan tasik kecil yang menyerlahkan lagi taman tersebut. Disepanjang Jalan Residensi yang melalui taman tersebut terdapat banyak pokok Angsana (pterocarpus indicus) yang ditanam.
Jangan lupa like kami di Facebook. dan subscribe kami di Youtube
Video (V) : PERHIMPUNAN SENDO GAYONG SEDUNIA 2018 (22-23 Disember 2018)
Sumber: AstroAwani, Orangperak
Ikuti kami di :
Leave a Reply