
Semalam satu peristiwa bersejarah telah berlaku. Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan memandu kereta keluaran pertama Perusahaan Automobil Nasional, Proton Saga keluar dari Istana Bukit Serene.
Sultan Ibrahim memandu kenderaan nasional berwarna biru itu bagi menghantar pulang Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), selepas lebih sejam mengadakan pertemuan secara tertutup.
Peristiwa yang dianggap mengimbau nostalgia kedua-dua pemimpin itu bersama Proton Saga sempat dirakam oleh kamera dan mula tular sejak semalam.
Tahukah anda bagaimana Proton Saga mendapat namanya?
Proton Saga merupakan model pertama syarikat automotif pertama Malaysia iaitu PROTON, berasaskan model Mitsubishi Lancer Fiore.
Berikutan hasrat kerajaan untuk mengeluarkan kereta buatan Malaysia pertama, rakyat Malaysia turut dipelawa mengambil bahagian dalam pertandingan menamakan motokar tersebut. Peraduan anjuran Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) telah menarik penyertaan 102,823 orang.

Nama Proton Saga yang diberikan oleh Sarjan Ismail Jaafar yang ketika itu bertugas di Markas Tentera Dua Divisyen Pulau Pinang ternyata memberi tuah kepada beliau apabila diisytiharkan sebagai pemenang untuk pertandingan tersebut. Allahyarham Ismail Jaafar telah meningaal dunia pada umur 71 tahun pada 13 Januari , 2018.
Proton Saga mula dibangunkan buat pertama kali di Shah Alam pada bulan September 1985. Proton Saga ke-100,000 telah dikeluarkan pada Januari 1989.

Semasa pelancarannya, kereta Proton Saga pertama telah dihadiahkan kepada Muzium Negara sebagai simbol bermulanya industri automotif negara.
Sejak daripada itulah Proton Saga menyumbang sebahagian besar daripada hasil jualan Proton. Varian Saga amat popular di kalangan pemandu teksi kerana harganya yang murah serta kos penyelenggaraan yang rendah.
Model terawal Proton Saga ditenagai enjin SOHC 8 injap 4 silinder yang dibekalkan oleh Mitsubishi dengan pilihan model 1.5L dan 1.3L.
Varian transmisi automatik hanya boleh didapati pada model 1.5L sahaja. Versi hatchback pula dikeluarkan pada tahun 1987, dikenali dengan nama Proton Knight pada mulanya dan kemudian dikenali sebagai Proton Saga Aeroback.
Janganlupa like kami di Facebook.dan subscribe kami di Youtube
Ikuti kami di :