Lesen Motosikal Percuma Untuk 25,000 Belia Terengganu

Lesen Motosikal Percuma Untuk 25,000 Belia Terengganu

KERAJAAN Terengganu merealisasikan pemberian lesen motosikal secara percuma kepada golongan belia mulai bulan depan .

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri mensasarkan seramai 25,000 belia berumur antara 16 hingga 40 tahun akan mendapat manfaat daripada Program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) yang diperkenalkan itu.

Katanya, permohonan melalui dalam talian dan secara manual akan mula dibuka pada kepada golongan sasaran selama sebulan bermula 1 Februari hingga 1 Mac depan.

“Pada bulan ini juga kita akan mengadakan mesyuarat akhir dengan semua agensi yang terbabit di dalam pelaksanaan program ini dan mengiklankannya dan juga mengedarkan borang secara manual kepada seluruh Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kawasan masing-masing.

“Semua peserta boleh hantar borang yang diisi kepada MPKK, Pejabat DUN dan i-MiTS berdekatan sebelum proses pemilihan dapat dijalankan berdasarkan kriteria ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat Exco Negeri, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Wan Sukairi berkata, selepas selesai urusan permohonan, pendaftaran dan lain-lain, pihaknya menjangkakan peserta yang layak akan diberikan baucar pada 15 April ini untuk dibawa ke Institut Memandu untuk pendaftaran.

“Berdasarkan perancangan peserta LMTS juga akan dilindungi takaful selama setahun selepas berjaya memiliki lesen motosikal masing-masing,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan Terengganu 2019, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM7 juta bagi bantuan mendapatkan lesen motosikal untuk golongan belia.

Jangan lupa like kami di Facebook. dan subscribe kami di Youtube

Sumber :Harian Metro

Ikuti kami di :