ANJING GILA ! Mukim Taiping, Bukit Gantang Diwarta Kawasan Jangkitan

BERKUATKUASA hari ini (14.1.2019) Mukim Taiping dan Bukit Gantang di daerah Larut Matang dan Selama diwartakan sebagai kawasan jangkitan anjing gila atau rabies.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan berkata ia susulan aduan daripada pemilik anjing bahawa 2 ahli keluarganya digigit di Taman Sri Kota Fasa 2, Taiping pada 31 Disember lepas.

Dr Quaza berkata aktiviti survelan dan persampelan anjing dan kucing terbiar telah dimulakan dalam kawasan 2km hingga 10km radius secara berperingkat dari tempat jangkitan iaitu di Taman Sri Kota, Taiping.

“Pemusnahan anjing-anjing terbiar dalam 1km hingga 10 km radius dari foci dijangkiti rabies yang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan bermula hari ini,” katanya.

Selain itu, Dr Quoza berkata pihaknya akan menjalankan rondaan jalan raya bagi mengesan cubaan memindahkan haiwan disyaki dijangkiti rabies keluar dari kawasan jangkitan.

Beliau menasihatkan agar pemilik anjing memberi suntikan vaksin rabies selain mengurung binatang peliharaan bagi mengelak berlakunya gigitan daripada anjing berkeliaran.

“Orang ramai juga dinasihatkan tidak mendekati anjing berkeliaran. Jika berlaku gigitan, bersihkan luka dengan sabun dan terus ke klinik kerajaan yang berdekatan untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata orang ramai boleh membuat sebarang aduan atau pertanyaan, dengan menghubungi Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Larut Matang dan Selama di talian 05-8072703.

Berikut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar

Janganlupa like kami di Facebook.dan subscribe kami di Youtube

 

Ikuti kami di :