Ini Sebab Wilayah Pattani Gagal Jadi Sebahagian Dari Tanah Melayu

Ini Sebab Wilayah Pattani Gagal Jadi Sebahagian Dari Tanah Melayu

Pattani, juga di sebut sebagai Patani, dalam bahasa Thai ปัตตานี, merupakan salah satu daripada wilayah-wilayah (changwat) di selatan Thailand yang terbentuk hasil pemecahan Kerajaan Pattani.

Wilayah-wilayah yang berdekatan (dari hala selatan tenggara ikut jam) adalah Narathiwat, Yala dan Songkhla. Masyarakat Melayu tempatan memanggil wilayah mereka, Patani Darussalam atau Patani Raya.

Pattani mempunyai majoriti penduduk yang beragama Islam; 85% adalah Muslim. Nama ‘Pattani’ berasal dari perkataan dalam Bahasa Melayu ‘Pantai Ini’. Sebagai salah satu wilayah baru yang diwujudkan dari Negara Patani yang asal, demografinya tidak jauh berbeza dengan wilayah-wilayah majoriti Melayu Islam yang lain seperti Narathiwat, Yala, Satun dan Songkhla.

Sejarah awal Pattani

Pada awalnya, Pattani merupakan sebuah kerajaan Melayu Islam yang berdaulat, mempunyai kesultanan dan perlembagaan yang tersendiri. Patani adalah sebahagian dari ‘Tanah Melayu’. Namun pada pertengahan abad ke-19 Patani telah menjadi korban penaklukan Kerajaan Siam.

Pada tahun 1826, penaklukan Siam terhadap Patani mendapat pengakuan Britania Raya. Dalam usahanya untuk mengukuhkan kedudukannya di Pattani, pada tahun 1902 Kerajaan Siam melaksanakan undang-Undang Thesaphiban.

Dengan itu, sistem pemerintahan kesultanan Melayu telah dihapuskan. Dengan ditandatanganinya Perjanjian Bangkok pada tahun 1909, Pattani telah diakui oleh British sebagai sebahagian dari jajahan Siam walaupun tanpa mempertimbangkan keinginan penduduk asli Melayu Patani.

Peranan mantan Raja Melayu Pattani dalam gerakan pembebasan

Tengku Mahmood Mahyideen, putra mantan Raja Melayu Patani

Sejak penghapusan pemerintahan Kesultanan Melayu Pattani, masyarakat Melayu-Pattani berada dalam posisi tertekan dan lemah . Seperti yang diungkap oleh W.A.R. Wood, Konsulat British di Songkhla, penduduk Melayu telah menjadi mangsa sebuah pemerintahan yang tidak diperintah dengan baik.

Justru akibat pemaksaan inilah kekacauan sering terjadi di Pattani. Pada tahun 1923, Tengku Abdul Kadir Kamaruddin, mantan Raja Melayu Patani, dengan dukungan pejuang-pejuang Turki, memimpin gerakan pembebasan.

Semangat anti-Siam menjadi lebih hebat saat Kerajaan Pibul Songgram (1939-44) mencuba mengasimilasikan kaum minoriti Melayu ke dalam masyarakat Siam melalui Undang-Undang Rathaniyom.

Keterlibatan Siam dalam Perang Dunia Kedua di pihak Jepun telah memberikan harapan kepada orang-orang Melayu Pattani untuk membebaskan tanah air mereka dari penjajahan Siam.

Tengku Mahmood Mahyideen, putra mantan Raja Melayu Patani juga seorang pegawai berpangkat Major dalam pasukan Force 136, telah mengajukan proposal kepada pihak berkuasa British di India supaya mengambil alih Pattani dan wilayah sekitarnya serta digabungkan dengan Tanah Melayu.

Proposal Tengku Mahmud itu selaras dengan proposal Pejabat Tanah Jajahan Britih dalam mengkaji kedudukan tanah ismus Kra dari sudut kepentingan keamanan Tanah Melayu setelah perang nanti.

Harapan itu semakin terbuka saat pihak sekutu, dalam Perjanjian San Francisco pada bulan April 1945, menerima prinsip hak menentukan nasib sendiri (self-determination) sebagai usaha membebaskan tanah jajahan dari belenggu penjajahan.

Atas semangat itu, pada 1 November 1945, sekumpulan pemimpin Melayu Patani dipimpin oleh Tengku Abdul Jalal, bekas wakil rakyat wilayah Narathiwat, telah mengemukakan petisyen kepada Kerajaan British dengan tujuan memujuk agar empat wilayah di Selatan Siam dibebaskan dari kekuasaan Pemerintahan Siam dan digabungkan dengan Semenanjung Tanah Melayu. Namun sudut pandang British terhadap Siam berubah saat Peperangan Pasifik selesai.

Petisyen Tengku Abdul Jalal gagal memujuk British membebaskan wilayah Pattani dari Siam

Keselamatan tanah jajahan dan kepentingan British di Asia Tenggara menjadi pertimbangan utama kerajaan British dalam perbincangannya dengan Siam mahupun Pattani.

Kerajaan British memerlukan kerjasama Siam untuk mendapatkan stok beras untuk keperluan tanah jajahannya.

Tidak kurang pentingnya, kerajaan British  terpaksa menyesuaikan perundangannya terhadap Siam dengan tuntutan Amerika Serikat yang ingin menetapkan wilayah Siam seperti pada tahun 1941.

Kebangkitan Komunis di Asia Tenggara, khususnya di Tanah Melayu pada tahun 1948, menjadi faktor pertimbangan British dalam menentukan keputusannya.

Kerajaan British menganggap Siam sebagai negara benteng terhadap ancaman Komunis China. Karena itu Kerajaan British ingin memastikan Siam terus stabil dan memihak kepada Barat dalam persaingan dengan Negara-Negara Komunis. Kerajaan British memerlukan kerjasama kerajaan Siam untuk menghapuskan kegiatan teror Komunis di perbatasan Tanah Melayu-Siam.

Selepas kematian Tengku Mahmood Mahyideen dan Haji Sulung pada tahun 1954 Pattani semakin lemah, dan kekal bergolak hingga sekarang

Kebetulan kerajaan Siam telah memberi jaminan untuk memperkenalkan reformasi di Pattani untuk mengatasi masalah yang dihadapi masyarakat Melayu. Oleh kerana itu, isu Pattani yang awalnya dianggap kurang penting malah kembali dibangkitkan akan memperkuat hubungan dengan Siam.

Setelah Persidangan Songkla pada awal Januari 1949, pihak berkuasa British di Tanah Melayu atas tuntutan pihak Siam mulai mengambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin pejuangan Pattani. GEMPAR juga telah dilarang. Tengku Mahmood Mahyideen ditekan, sementara Haji Sulung dihukum penjara. Pergerakan politik Pattani semakin lemah dengan kematian Tengku Mahmood Mahyideen dan Haji Sulung pada tahun 1954.

Wilayah Melayu yang telah hilang

Masjid terbesar di bandar Pattani yang menjadi Pusat aktiviti masyarakat Islam Pattani. Imej dari Harian Metro

Walaupun rata-rata orang Melayu-Thai di daerah Pattani, Yala dan Narathiwat masih lagi boleh bertutur di dalam bahasa Melayu dan masih lagi mengakui yang mereka itu Melayu, lain pula dengan kebanyakan masyarakat Thai-Muslim di wilayah-wilayah Satun, Trang dan Songkhla.

Mereka tidak lagi boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik walaupun mereka tampak seperti masyarakat Melayu-Islam di Kedah ataupun Kelantan. Lebih menyedihkan, hanya 9.9% daripada masyarakat Islam Satun dan Trang yang mengaku mereka itu Melayu.

Sejarah menunjukkan bahawasanya orang-orang Melayu pernah membina peradaban yang tinggi  menerusi kerajaan-kerajaan maritim yang pernah diterajui mereka. Namun, penjajahan telah menyebabkan orang-orang Melayu tertindas sehingga hilang jati diri.

Masyarakat Thai-Muslim di Satun dan Trang adalah manifestasi sebuah bangsa yang telah hilang jati-diri mereka sebagai seorang Melayu. Amat mendukacitakan apabila saudara serumpun seagama kita di Satun dan Trang tidak lagi mahu mengakui diri mereka Melayu, malah lebih berbangga menjadi orang Thai.

Wilayah-wilayah Satun, Trang, Pattani, Yala, Songkhla dan Narathiwat adalah wilayah-wilayah Melayu yang hilang dan sekarang telah menjadi hak mutlak negara Thailand. Nasib masyarakat Muslim di selatan Thailand patut dijadikan iktibar oleh kita semua.

Rakyat Malaysia terutamanya masyarakat Melayu perlu menanamkan rasa kasih pada bangsanya sendiri dan negara Malaysia kerana inilah negara warisan kerajaan-kerajaan Melayu lama yang masih kekal bersama orang-orang Melayu.

Janganlupa like kami di Facebook.dan subscribe kami di Youtube

Video (IV) : PERHIMPUNAN SENDO GAYONG SEDUNIA 2018 (22-23 Disember 2018)

Sumber: MediaInformasiNews

Ikuti kami di :