Agong Baharu Akan Ditentukan Hari Ini

Agong Baharu Akan Ditentukan Hari Ini

Tahukah anda, hari ini, sembilan Raja-Raja Melayu akan bermesyuarat bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong  yang akan bersemayam bagi tempoh lima tahun akan datang.

Kekosongan itu susulan peletakan jawatan Sultan Muhammad V mengikut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan pada 6 Januari lalu, pertama kali terjadi dalam sejarah institusi beraja di negara ini.

Satu mesyuarat khas Majlis Raja-Raja dijadual berlangsung pada jam 10.30 pagi ini di Istana Negara.

Untuk pengetahuan anda, jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong kini dipegang oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang turut memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong sehingga urusan pelantikan ketua utama negara yang baharu selesai.

Susunan penggiliran pertama pelantikan Yang di-Pertuan Agong dilakukan di atas persetujuan Raja negeri-negeri mengikut kekananan dari segi tempoh pemerintahan yang dimulakan dengan Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.

Sistem penggiliran dalam kalangan sembilan Raja-raja Melayu kini memasuki pusingan kedua yang menyaksikan Raja-raja Melayu dari enam negeri telah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Tinggal tiga lagi Raja-raja Melayu dari Pahang, Johor dan Perak untuk melengkapkan pusingan kedua sistem penggiliran itu.

Ini lapan fakta mengenai pengundian Yang di-Pertuan Agong yang perlu anda tahu

Menurut Seksyen 2, Jadual ke-3 Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja hendaklah menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada raja yang layak dipilih, yang negerinya di kedudukan pertama dalam senarai pilihan.

Pada kebiasaannya, Raja yang paling kanan dari segi pemerintahan dipilih menjawat jawatan berkenaan, bagaimanapun, peraturan ini tidak lagi diguna pakai selepas semua Raja dari negeri-negeri telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong iaitu selepas Sultan Perak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong IX, jelas kenyataan yang dimuat naik di laman web Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Selepas itu, senarai baharu yang dikenali sebagai senarai yang disusun semula kini diguna pakai dan ia berpandukan kepada kekananan negeri yang rajanya telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Berikut adalah lapan tatacara yang ditetapkan dalam proses pengundian Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

  1. Hanya sembilan Raja-Raja sahaja yang layak memilih dan dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong. Bagaimanapun, hanya Raja yang paling kanan dicalonkan dalam pengundian berkenaan.
  2. Semasa pemilihan, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja membekalkan satu kertas undi setiap Raja.
  3. Setiap Raja diminta menandakan pendapatnya sama ada Raja yang paling kanan tersebut sesuai atau tidak sesuai dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.
  4. Calon mestilah mendapat majoriti lima undi sebelum Raja yang mempengerusikan Mesyuarat Pemilihan menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada Baginda.
  5. Jika Raja yang berjaya tidak menerima tawaran ataupun Raja itu gagal memperolehi undi majoriti maka proses pengundian semula akan dijalankan dengan mencalonkan nama Raja yang kedua dalam senarai kekananan yang layak dipilih untuk diundi.
  6. Proses hanya akan selesai selepas Baginda menerima tawaran jawatan Yang di-Pertuan Agong.
  7. Selepas itu, Majlis akan mengisytiharkan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong dan memegang jawatan itu bagi tempoh lima tahun.
  8. Pemilihan dibuat secara undi sulit dan kertas undi yang digunakan tidak bernombor serta ditandakan dengan pen dan dakwat yang sama. Sebaik sahaja keputusan undian diumumkan semua kertas undi akan dimusnahkan di hadapan Raja-Raja.

Janganlupa like kami di Facebook.dan subscribe kami di Youtube

Sumber: Awani

Ikuti kami di :