Empat Batu Nisan Dipercayai Zaman Kesultanan Melaka Dijumpai

Batu Nisan Dipercayai Zaman Kesultanan Melaka Dijumpai

Penduduk Kampung Bukit Duyong di sini hari ini gempar dengan penemuan empat pasang batu nisan jenis laterit yang digunakan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka pada kurun ke-16.

Salah seorang penduduk, Roslan Ramlan, 52, berkata, batu nisan itu ditemuinya bersama enam pasang batu nisan biasa ketika membersihkan kawasan semak di kawasan berkenaan menggunakan perkhidmatan jentolak.

“Pemandu jentolak itu memberitahu dia menemui beberapa buah batu nisan dan mengumpulkannya sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa.

“Bagaimanapun, saya pelik kerana sepanjang 10 tahun tinggal di sini, kawasan ini tidak mempunyai tanah perkuburan,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Duyong di sini hari ini.

Sementara itu, Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Fadhilah Md. Salleh berkata, berdasarkan pemantauan awal, empat pasang batu nisan itu dipercayai jenis laterit berusia 500 tahun.

“Pihak kami akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi mengenalpasti nilai sejarah penemuan berkenaan serta menilai sama ada ia mempunyai hubung kait dengan penemuan batu nisan jenis sama di Johor tahun lalu,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan bentuk batu berkenaan, dua batu nisan adalah tanda untuk kubur jenazah lelaki dan 8 lagi batu nisan untuk kubur jenazah wanita.

Dalam pada itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Rahimin Bani berkata, siasatan lanjut akan dibuat bagi memastikan sama ada batu nisan berkenaan berasal dari kawasan itu atau di bawa ke lokasi penemuan.

Katanya, bagi mengelakkan unsur salah guna, kesemua batu nisan itu akan ditanam semula di kawasan tanah perkuburan berhampiran dan kes disiasat mengikut Seksyen 62 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

Sumber : Kosmo

Ikuti kami di :