Fakta Yang Perlu Anda Tahu Mengenai Penyakit Chikungunya

Fakta Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Penyakit Chikungunya

Apa itu Penyakit Chikungunya?

Chikungunya adalah jangkitan virus yang merebak kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes. Virus Chikungunya pertama kali diasingkan daripada darah pesakit yang demam di Tanzania pada tahun 1953. Penyakit Chikungunya adalah endemik di kawasan tropika terutamanya di Afrika dan India. Penyakit ini telah menular ke Asia Tenggara di mana kes-kes telah dilaporkan di Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand dan Malaysia. Jangkitan pertama penyakit Chikungunya di Malaysia telah dilaporkan pada tahun 1998 di Pelabuhan Klang

Bagaimana penyakit ini boleh berlaku?

Chikungunya adalah demam yang disebabkan oleh virus daripada genus Alphavirus di dalam keluarga Togaviridae.

Adakah ia berjangkit?

Ya. Virus Chikungunya berjangkit melalui gigitan nyamuk Aedes albopictus atau Aedes aegypti yang membawa virus tersebut. Nyamuk Aedes juga menyebarkan virus penyakit demam denggi.

Apakah masa pengeraman bagi Chikungunya?

Masa pengeraman bagi Chikungunya boleh menjangkau dari 3 hingga 12 hari tetapi pada kebiasaannya di antara dari 3 hingga 7 hari.

Apakah tanda-tanda dan gejala penyakit ini?

  • Demam panas mengejut
  • Sakit teruk pada sendi
  • Ruam pada badan
  • Sakit kepala Seorang pesakit boleh demam dari dari 1 hingga 7 hari (kebiasaannya 5 hari).

Penyakit Chikungunya boleh disalah anggap sebagai demam denggi kerana tanda-tanda penyakit yang menyerupai demam denggi.

Adakah penyakit ini boleh membawa maut?

Di Malaysia, Chikungunya tidak pernah dilaporkan boleh menyebabkan pendarahan atau kematian. Tetapi, sesetengah pesakit mengalami gejala yang berpanjangan. Pesakit yang berumur boleh mengalami kesakitan berulang pada sendi sehingga beberapa bulan atau tahun.

Apakah rawatan bagi penyakit ini?

Seperti penyakit-penyakit yang disebabkan oleh virus, ia tiada rawatan yang khusus. Selalunya rawatan diberi berdasarkan gejala klinikal yang dialami oleh seseorang pesakit. Kebanyakan kes yang terjadi hanya memerlukan rawatan pesakit luar sahaja. Tiada vaksin bagi penyakit ini.

Apakah yang perlu dilakukan jika dijangkiti penyakit?

Jika mengalami tanda-tanda dan gejala penyakit Chikungunya, orang ramai adalah dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat.

Cara pencegahan penyakit Chikungunya

  • Guna sapuan pencegah serangga pada kulit yang terdedah semasa keluar bersiar, terutama semasa di siang hari.
  • Pakai baju berlengan panjang dan seluar panjang semasa keluar bersiar.
  • Jika boleh tinggal dalam tempat yang mempunyai skrin pelindung pada tingkap atau penghawa dingin untuk menjauhi nyamuk
  • Bersihkan kawasan rumah dan persekitaran supaya bebas daripada tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes. Ini boleh dilakukan melalui aktiviti gotong royong. Adalah terbukti tiada kes baru yang dilaporkan di kawasan-kawasan yang melakukan gotong- royong.
  • Periksa rumah dan persekitaran sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk memastikan tiada pembiakan nyamuk Aedes.
  • Dapatkan rawatan dengan segera di klinik atau hospital berdekatan sekiranya mengalami tanda dan gejala penyakit.

Perbezaan antara demam denggi dan penyakit chikungunya?

Chikungunya tidak ada pendarahan hebat, renjatan mahupun kematian. Dengan rehat yang secukupnya serta rawatan asimptomatik, penyakit ini akan sembuh sendiri dalam masa 7 hari.

Bolehkah kawasan saya dijangkiti penyakit Chikungunya?

Boleh, kerana penyakit ini dibawa oleh nyamuk Aedes albopictus dan Aedes aegypti yang terdapat di negara kita.

 

Sumber : Hospital Kuala Penyu

 

Ikuti kami di :