Daging Burger Asalnya Tercipta Dari Bawah Pelana Kuda?

Daging Burger Tercipta Dari Bawah Pelana Kuda

Ramai di kalangan rakyat Malaysia yang menggemari burger. Kita sudah biasa dengan pelbagai pilihan hidangan burger tapi tahukah anda bagaimana terciptanya burger? Percaya atau tidak, ia ada kaitan dengan kuda. Nak tahu lebih lanjut, mari kita singkap sedikit sejarah ringkas bagaimana burger tercipta.

Sebelum terciptanya burger atau bahan asas kepada makanan tersebut, daging hancur sudah mula wujud dalam kulinari Eropah sejak abad ke-4 lagi.

Dalam buku Apicius (buku resepi masakan Rom Kuno) telah di temui satu hidangan daging cincang yang dicampur bersama biji pine (kacang pine), lada hitam dan wain.

Bagaimanapun, pada abad ke-12, orang Mongol di bawah pimpinan Gengis Khan yang hidup secara nomad juga dikatakan sebagai antara pencipta awal kepada bahan asas burger iaitu daging hancur.

Daging hancur merupakan bahan asas dalam sebiji burger. Foto Vitdaily

​Tentera-tentera berkuda ni kadangkala tidak berhenti untuk makan jadi mereka sering makan ketika menunggang. Mereka membungkus beberapa kepingan daging di bawah pelana kuda supaya ia hancur di bawah tekanan dan gerakan.

Daging yang diletak dibawah pelana kuda akan hancur. Foto vitdaily

Secara tak lansung daging itu akan masak melalui haba dan geseran. Resepi daging hancur ni tersebar luas di seluruh Empayar Mongol.

Kemudiannya, apabila cucu Genghis Khan iaitu Kublai Khan menyerang Moscow – dia dan pahlawannya memperkenalkan daging cincang ini kepada penduduk tempatan dan seterusnya popular di Jerman dan mereka mula mencipta resepi sendiri dan menjualnya di jalanan.

Maka Lahirlah Hamburger!

Hamburger (juga dipanggil burger) ialah sejenis hidangan sandwich yang terdiri daripada daging burger (diperbuat daripada daging kisar) yang dimasak sama ada digoreng, dikukus, dipanggang atau disalai, serta selalunya dihidangkan dengan pelbagai inti atau topping di dalam roti burger yang dibelah dua.

Hamburger juga merujuk kepada daging burger yang dimasak itu sendiri. Perkataan hamburger berasal daripada bandar bernama Hamburg (Jerman) dan bukannya merujuk kepada daging khinzir (ham dalam bahasa Inggeris).

Orang Amerika Yang Popularkan Hamburger

Orang Amerika bertanggungjawab mempopularkan burger. Foto Foreman grill Racipes

Pada abad ke-19, peneroka dan pendatang Eropah memulakan pelayaran mereka ke Amerika dari Hamburg. Pendatang Eropah ini memperkenalkan kebiasaan masakan mereka ke negara tuan rumah mereka.

New York City adalah destinasi paling biasa bagi kapal-kapal yang melancong dari Hamburg, dan pelbagai restoran di bandar itu mula menawarkan stik gaya Hamburg untuk menarik pelayar Jerman.

Asal mula hamburger tidak diketahui dengan pasti. Kebanyakan ahli sejarah percaya bahawa ia dicipta oleh tukang masak yang meletakkan stik Hamburg antara dua keping roti di sebuah bandar kecil di Texas. Charlie Nagreen (1871-1951) dari Seymour, Wisconsin juga dikatakan sebagai seorang bapa kelahiran Hamburger.

Evolusi & Pilihan Burger Masa Kini

Hamburger dianggap sebagai salah satu makanan segera ataupun sebagai snek, oleh itu ia banyak dijual di restoran makanan segera seperti McDonald’s dan Burger King, serta di gerai tepi jalan seperti di Malaysia di mana boleh didapati dengan mudah.

Ada yang menyediakan daging burger tersebut dengan telur, habuk roti, bawang, sos Worcestershire (juga dikenali sebagai kicap burger), parsli dan ramuan lain.

Hamburger dengan sos Thousand Island juga menjadi semakin terkenal, contohnya burger Big Mac McDonald’s yang juga mempunyai versi sos Thousand Island.

Beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan pertambahan populariti burger jenis baru sebagai alternatif kepada burger daging. Antaranya termasuklah burger ayam, burger ayam belanda, burger arnab, burger rusa, burger kerbau dan burger burung unta dan kebelakangan ini – kita ada burger nasi lemak.

Jadi, pada asalnya burger hanyalah daging hancur di bawah pelana kuda dan kini ia telah menjadi satu hidangan ringkas yang digemari oleh penduduk dunia.

Sumber: Vitdaily

Ikuti kami di :