Pelajar Nyaris Diculik Di Batu Gajah

Pelajar Nyaris Diculik Di Baru Gajah

PELAJAR lelaki berusia 13 tahun hampir menjadi mangsa culik tiga lelaki yang menaiki Proton Waja perak ketika berjalan pulang dari sekolah di hadapan simpang masuk Taman Tualang, Jalan Kampar, Batu Gajah semalam.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, mangsa didatangi lelaki itu dari arah belakang.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, salah seorang suspek yang duduk di bahagian belakang sebelah kiri membuka pintu sebelum cuba menarik mangsa masuk ke kereta.

Katanya, mangsa yang terkejut dengan tindakan suspek bertindak menepis tangan suspek sebelum melarikan diri pulang ke rumah yang terletak kira-kira 400 meter.

“Mangsa tidak mengalami kecederaan ataupun kerugian dan hasil siasatan mendapati jarak lokasi kejadian dengan sekolah adalah kira-kira 600 meter.

“Tiada saksi yang melihat kejadian itu dan lokasi berkenaan juga tiada premis perniagaan atau rumah serta tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

Ahmad Adnan berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 363 dan 511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menculik.

Sementara itu, berkenaan satu lagi berita yang tular mengenai murid sekolah rendah di sini yang hampir diculik, Ahmad Adnan berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu.

Ahmad Adnan turut menasihatkan semua pihak khususnya ibu bapa memantau pergerakan pergi dan balik anak-anak mereka bagi mengelakkan kejadian tidak diingini dan melaporkan kepada polis jika terdapat kejadian tidak diingini.

Sumber : nstp

Ikuti kami di :