
Serangan berdarah di Masjid al Noor, Christchurch hari ini telah distrim secara langsung selama 17 minit oleh penyerang.
NZ Herald melaporkan, penembak yang memperkenalkan diri sebagai ‘Brenton Tarrant’, seorang lelaki berkulit putih dan berusia 28 tahun dilahirkan di Australia.

Seorang warga Malaysia cedera ditembak
Dalam pada itu, dikatakan seorang warga Malaysia terkena tembakan dalam insiden serangan di Masjid al Noor Christchurch, hari ini.
Lapor NZ Herald yang memetik saksi, Idris Khairuddin sebagai berkata, bapa saudaranya, Tamizi ditembak pada bahagian belakang.
“Saya berdoa kecederaannya tidak begitu serius.
“Minggu ini adalah kali pertama saya ke masjid. saya masih trauma,” kata Idris.
Serangan pengganas di Chirstchurch, Satu ditahan
Seorang ditahan tetapi polis percaya masih ada lagi yang terlibat dalam serangan di dua buah masjid di sini dengan sembilan orang dilaporkan terbunuh.
Stuff New Zealand melaporkan, sembilan disahkan terbunuh susulan kejadian tembakan rambang di Masjid Al Noor dekat Deans Ave dan Masjid Linwood di Linwood Ave.
Jurucakap polis, Komisioner Mike Bush berkata, polis memberi maklum balas terhadap insiden tragik dan serius melibatkan serangan tembakan di sini.
Serangan masjid Christchurch mengejutkan
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Islam Marlborough, Zayd Blissett memberitahu, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu melalui Pertubuhan Islam Persekutuan New Zealand (FIANZ) mengatakan serangan berlaku ketika solat Jumaat.
“Saya sangat sedih dan menangis. Ini New Zealand dan tidak sepatutnya berlaku seperti ini,” tegasnya.