Misi Berbeza Angkasawan Ke Dua

Misi Berbeza Angkasawan Ke Dua

Misi menghantar angkasawan kedua negara pada tahun 2030 adalah misi yang berbeza dan tidak sama seperti 12 tahun lalu, kata Angkasawan Negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha.

Beliau berkata misi menghantar angkasawan kedua pada tahun 2030 di bawah Pelan Tindakan Agensi Angkasa Lepas Nasional perlu berbeza daripada misi pertama.

“Menetap di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selama tiga hingga enam bulan di sana boleh dijadikan misi tahun 2030 nanti. Atau kita boleh lakukan ‘spacewalk’ di sana yang mana saya tidak buat ketika saya berada di sana.

“Misinya perlu berbeza. Ketika saya di sana (di ISS), tahun 2007, saya tidak lakukan aktiviti-aktiviti itu.

“Saya ada misi saya. Antaranya misi berkaitan kajian sel kanser. Sebab saya doktor berkaitan ortopedik,  tulang, saya lebih berminat dengan sel kanser,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog Wacana Ilmu Kembara Ke Angkasa di Pameran Penyelidikan, Pertahanan, Keselamatan dan Kemampanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia(UPNM), Sungai Besi dekat sini hari ini.

Dr Sheikh Muszaphar Shukor berkata, misi tersebut juga bergantung kepada hala tuju negara dan kajian-kajian yang boleh dilakukan kerana terdapat banyak bidang kajian (berkaitan bidang Sains) di luar sana yang boleh di ketengahkan.

Tambahnya lagi, program angkasawan kedua ini masih dalam status ‘on hold’ dan negara mempunyai banyak masa bagi membincangkan kajian-kajian yang ingin dilakukan selain membuka permohonan bagi memilih angkasawan seterusnya bagi misi 2030.

“Banyak lagi masa dan kemungkinan pemilihan angkasawan negara akan dibuka (kepada umum) dalam tempoh dua ke tiga tahun menjelang 2030 dan mungkin kita boleh menghantar angkasawan wanita pertama negara,” katanya.

Beliau berlepas ke ISS dengan kapal angkasa Soyuz bersama Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan Yuri Malenchenko dari tapak pelancaran Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan pada 10 Okt 2007.

Dr Sheikh Muszaphar Shukor, 46, doktor bedah ortopedik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),  berada di ISS selama 10 hari.

Sumber : frontdesk

Ikuti kami di :