Terima Kasih Datuk Lee Chong Wei!, Biar Jasa Jadi Kenangan

Terima Kasih Dato Lee Chong Wei!, Biar Jasa Jadi Kenangan

Jika bola sepak negara pernah dikenali dek penangan Allahyarham Dato’ Mokhtar Dahari, Dato’ Lee Chong Wei pula berada di tahap yang berbeza.

Titik noktah karier Dato’ Lee Chong Wei disulami air mata bukan sahaja daripada peminat sukan badminton tempatan malahan peminatnya di seluruh dunia.

Jika kita mengenali latar belakang Dato’ Lee Chong Wei, beliau bukanlah seorang prodigi badminton negara yang dapat dilihat mampu menerusikan legasi keluarga Sidek.

Namun, berkat komitmen, disiplin serta bimbingan tidak berbelah bahagi Dato’ Misbun Sidek, beliau kini dikenali sebagai permata negara yang tidak ternilai.

Karekter yang ada pada Dato’ Lee Chong Wei juga menyebabkan dirinya disenangi para pesaingnya. Kali terakhir Dato’ Lee Chong Wei muncul di podium adalah pada kejohanan Terbuka Malaysia, April lalu untuk menyampaikan anugerah kepada pemenang. Pada ketika itu, Lin Dan dan Chen Long mengajak beliau untuk bersama-sama di atas podium ketika sesi fotografi.

Kisah Lin Dan-Chong Wei akan menjadi epik sehebat kisah Messi-Ronaldo dalam sukan badminton. Kekuatan mereka hampir setara pada era kegemilangan mereka tetapi ibarat ‘cyborg’, Lin Dan akan hadir lebih gagah menentang Chong Wei.

Dato’ Lee Chong Wei menoktahkan segalanya dengan satu kekesalan yang jelas terpapar di wajahnya; gagal menghadiahkan pingat emas Sukan Olimpik buat Malaysia. Biarpun 46 kali bergelar juara dalam pelbagai kejohanan, kegagalan tersebut jelas menghantui dirinya saban tahun.

Dato’ Lee Chong Wei sudah mengecap pelbagai kejayaan termasuklah bergelar pemain no.1 dunia selama 199 minggu berturut-turut. Beliau juga berjaya mengangkat imej Malaysia sebagai pesaing terdekat kuasa besar badminton dunia, China dan Indonesia.

Jika ikutkan semangatnya, Dato’ Lee Chong Wei ternyata mahu meneruskan kariernya selama mungkin untuk negara tercinta. Namun, masalah kesihatannya seperti kanser hidung yang walaupun semakin sembuh, masalah tersebut tetap mengganggu kecergasannya untuk meneruskan segala usahanya.

Terima kasih, Dato’ Lee Chong Wei. Tamatnya riwayat seorang lagi permata negara selepas Dato’ Nicol Ann David pada tahun 2019.

Kredit: Sokernet

Ikuti kami di :