Hukuman denda, penjara jika terbangkan dron ketika mabuk

Hukuman denda, penjara jika terbangkan dron ketika mabuk

Orang ramai di Jepun yang mengendalikan dron dalam keadaan mabuk boleh dikenakan hukuman penjara selama setahun di bawah undang-undang baharu yang diluluskan semalam.

Tindakan menerbangkan dron seberat 200 gram dalam keadaan mabuk boleh menyaksikan pesalah didenda sehingga 300,000 yen (RM11,520).

Dewan Rakyat meluluskan undang-undang baharu itu, susulan satu siri kemalangan membabitkan peranti terbang berkenaan dan bermatlamat untuk kawalan terhadap dron yang kian popular di Jepun.

Tindakan melakukan aksi berbahaya menggunakan dron seperti membuatkannya menjunam pada sudut berbahaya juga boleh menyebabkan seseorang itu didenda sehingga 500,000 yen (RM19,200).

“Kami percaya mengendalikan dron selepas meminum minuman alkohol adalah satu kesalahan serius seperti memandu dalam keadaan mabuk,” kata pegawai Kementerian Pengangkutan kepada agensi berita AFP.

Peraturan itu diadakan selepas Jepun menyaksikan peningkatan penggunaan dron serta kes kemalangan berkait dengannya.

Pada tahun 2017, sebuah dron bersaiz industri diterbangkan pada satu festival robot di bandar Ogaki di tengah Jepun dan sepatutnya menjatuhkan gula-gula kepada kanak-kanak kecil.

Bagaimanapun, peranti yang dikendalikan oleh individu berkelayakan mencederakan enam orang selepas terjatuh ke tanah dari ketinggian 10 meter.

Jepun juga perlu berdepan isu berkait penerbangan dron oleh pelancong di kawasan sesak atau tumpuan pelancong asing seperti Kyoto.

Bulan lalu, Jepun meluluskan beberapa undang-undang untuk mengharamkan penerbangan dron di lokasi Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan fasiliti Tentera Amerika Syarikat selain melarang penggunaan peranti kawalan jauh itu di Pejabat Perdana Menteri dan istana.

Ikuti kami di :