Guru Silat Melarang Murid Belajar Daripada Guru Yang Lain?

Guru Silat Melarang Murid Belajar Daripada Guru Yang Lain?

Seni Silat terkenal sebagai suatu gaya seni pertahankan diri orang-orang Melayu di nusantara, warisan moyang ratusan tahun sebelumnya dan menjadi satu kemegahan masyarakat Melayu khususnya di Malaysia.

Leluhur seni silat telah mengalir sejak berzaman, namun menjadikannya sebuah seni yang kekal releven sepanjang zaman merupakan satu cabaran yang perlu ditempuh bagi semua pengamal seni berkenaan.

Mereka yang menceburi silat, kadangkala akan terdengar ayat; “Jangan belajar silat tu” atau “Jangan belajar dengan guru sekian”.

Dipetik dari facebook Jazwan Kahar beliau menerangkan secara terperinci mengapa kadangkala sesetengah ahli silat akan berkata perkara sedemikian.

Terdapat beberapa faktor hal ini berlaku. Ada yang hanya berlaku dalam silat yang sealiran dengannya, ada juga yang berlaku pada silat yang berbeza aliran. Sebelum membicarakan dengan lebih lanjut, berikut adalah faktor yang perlu kita fahami.

1. Dendam politik silat.

Ini bukannya berkenaan parti politik negara. Sebelum kita nak fahami isu ini, adalah baik kita fahami lumrah yang berlaku dalam persatuan silat. Berikut adalah contoh nama silat (hanya rekaan semata-mata);

Persatuan Seni Silat Hang Kasturi ditubuhkan oleh Mahaguru Fulan. Setelah Mahaguru Fulan mati, maka berlaku perpecahan dalam persatuan, kerana faktor perpecahan yang pelbagai. Maka ada bekas murid mahaguru itu yang buka persatuan baharu.

Selalunya nama persatuan silat itu ada kaitan dengan nama persatuan yang diceburinya dahulu. Misalnya, Silat Warisan Kasturi, Silat Ustaz Kasturi, Silat Panglima Kasturi, Silat Limau Kasturi. Ada juga yang tidak memakai nama “Kasturi” dan guna nama lain. Apa-apa pun, kebanyakan isi pelajaran adalah sama dan ada sedikit perbezaan hasil kreativiti masing-masing.

Beginilah gambaran lumrah politik silat-silat Melayu. Sesetengah guru dalam persatuan Silat Hang Kasturi akan menghalang muridnya mengambil ilmu daripada persatuan Silat Limau Kasturi. Hal ini berlaku atas dasar “ilmu tak original”, ada juga yang libatkan sanad perguruan silat yang “tak sahih” (what!?), ada juga yang bagi alasan mereka tak ikut upacara adat silat.

Apa-apa pun secara tersiratnya, mereka halang murid kerana ada dendam kesumat politik dalam silat. Ini merupakan punca paling utama yang menyebabkan guru silat yang menghalang muridnya daripada mengambil guru silat lain yang sealiran (tapi berbeza persatuan).

Perkara begini amat tidak sihat. Para sahabat Nabi Muhammad SAW tidak pernah menghalang orang lain untuk berguru dengan pelbagai sahabat nabi walaupun waktu berlakunya isu perpecahan politik yang mendukacitakan dalam sejarah.

2. Memonopoli murid.

Ada juga yang ingin memonopoli murid sama ada dari segi wang dan tenaga. Tujuannya mungkin untuk mendapatkan habuan duniawi.

Contohnya, ada seorang guru silat ini berbangga kononnya ada ratusan ribu murid. Mereka yang mendakwa sebegini selalunya akan dapat kabel dengan ahli politik, maka mudahlah dia membuat pengaruh besar.

Bahkan ada mahaguru yang sanggup ajar ilmu paling tinggi dalam persilatannya kepada guru silat aliran lain. Tujuan tersiratnya adalah agar dirinya dapat jalan pintas dengan mendakwa kononnya “guru silat lain menjadi muridnya”.

Ada juga guru yang memarahi muridnya kerana buka persatuan silat baharu walaupun tidak memakai nama silat asal. Hal ini terjadi tak lain tak bukan kerana tidak mahu ilmunya mudah tersebar dengan jenama lain. Perbuatan guru tersebut sebenarnya melanggar hak asasi muridnya yang dibenarkan di sisi undang-undang untuk membuka persatuan silat. Bahkan dari segi penilaian syariat Islam juga tidak menjadi masalah.

3. Menanamkan ketaasuban/ fanatik murid terhadap guru.

Perkara ini sering dilakukan oleh jurulatih-jurulatih silat yang menanamkan ketaasuban ke dalam dada murid tentang kehebatan mahaguru/ guru utama mereka. Tiadalah menjadi masalah jika perkara itu benar. Yang menjadi masalah adalah mengaitkan isu politik silat dan menambahkan unsur fitnah serta merendah-rendahkan guru silat lain.

Inilah 3 faktor utama dan di bawahnya boleh dipecahkan kepada beratus aneka karenah mereka.

Sikap Matang

Nabi Muhammad SAW walaupun seorang rasul, tetapi baginda tidak melarang para sahabat untuk menceritakan riwayat dari Bani Israel. Rasulullah SAW bersabda:

حَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَا حَرَجَ

“Ceritakanlah (riwayat) dari Bani Israel, tidak mengapa”. [Sahih al-Bukhari]

Keizinan Rasulullah SAW ini bukanlah untuk meninggalkan wahyu tulen yang turun kepada baginda. Akan tetapi, baginda tidak membuka pintu ketaasuban melampau kepada agama Islam sehinggakan tidak mengambil tahu hal lain. Dan juga bukanlah untuk membenarkan apa yang ada pada Bani Israel, akan tetapi untuk menampakkan lagi kebenaran baginda SAW.

Manakala bagi kita manusia biasa, boleh jadi kebenaran itu ada pada kita atau pada guru lain. Tiada satu manusia pun yang terlepas daripada kecacatan. Hammad bin Zaid berkata:

إنك لا تعرف خطأ معلمك حتى تجالس غيره

“Sesungguhnya kau tidak akan tahu kesalahan gurumu sampai kau duduk (berguru) dengan yang lain”.

[Jaami’ Bayan al-‘Ilm wa Fadhlih (1/414, no.607)]

Inilah semangat ulama Islam yang tidak mahu membuka pintu ketaasuban.

Al-Imam al-Syafie sangat tidak senang apabila ada orang yang fanatik terhadap ajarannya. Sehinggakan beliau berkata:

إذا وجدتم في كتابي خلاف سنة رسول الله صلى الله عليه وسلم فقولوا به ودعوا ما قلته

“Apabila kalian menemukan dalam kitabku ajaran yang menyelisihi sunah Rasulullah SAW, maka ambillah sunah tersebut dan tinggalkanlah pendapatku”.

[Siyar A’lam al-Nubala, (10/34)]

Beliau juga mengambil faedah dari ulama beraliran ahli hadis seperti al-Imam Malik & Sufyan Bin Uyainah dan juga dari ulama beraliran ra’yu (suka pakai logik) seperti Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani (mazhab Hanafi).

Namun begitu, beliau tidak menyekat pemikirannya untuk mengikuti salah satu dari dua aliran tersebut bahkan beliau sentiasa kritis terhadap kedua-keduanya. Inilah semangat ilmu yang mampu membuatkan silat Melayu maju. Manakala sikap guru menyekat pelajar lain ialah sikap yang memundurkan.

Jika dikatakan; “Belajar tukar-tukar guru tak istiqamah dan tiada prinsip”. Maka saya jawab;

Al-Imam al-Tohawi pengarang kitab akidah yang diterima oleh semua ulama, dahulunya belajar fiqah Syafie. Tapi akhirnya dia beralih kepada mazhab Hanafi dan menjadi jaguh dalam mazhab baharunya itu.

Al-Imam al-Tohawi “tak istiqamah” pada awalnya adalah agar dia terus istiqamah untuk memilih mazhab yang sesuai dengan prinsipnya setelah belajar dengan pelbagai aliran dan mengkaji semuanya. Terkongkong dengan satu aliran bukanlah istiqamah namanya, bahkan katak bawah tempurung.

Sumber: JazwanKahar

Ikuti kami di :