Bayi Bernama ‘Google’ Terima Hadiah Daripada Google

Bayi Bernama ‘Google’ Terima Hadiah Daripada Google

Seorang bayi lelaki yang dinamakan ‘Google’ oleh ibu bapanya telah menerima hadiah daripada gergasi enjin carian internet, Google di kediaman mereka di Rawalumbu, bandar Bekasi, wilayah Jawa Barat dekat sini, lapor portal Kompas.com.

Menurut ibu bayi berkenaan, Ella Karin, 27, terdapat beberapa barangan yang dihadiahkan kepada Google sebagai penghargaan dan kenangan daripada Google Indonesia.

“Antara barangan yang diterima ialah pakaian bayi berwarna biru memaparkan tulisan Google seperti yang dipakai oleh Google dalam foto yang tersebar di laman sosial,” katanya.

Bagaimanapun, wanita itu enggan memperincikan barangan lain yang diterima anaknya. Hadiah tersebut dihantar menggunakan sebuah lori penghantaran ke rumahnya.

Wanita itu berkata, Google Indonesia menghubungi suaminya, Andi Cahya Saputra, 31, untuk menyampaikan ucapan tahniah dan mendoakan kesejahteraan Google yang lahir pada November 2018.

“Mereka mengucapkan selamat dan mendoakan supaya Google kelak menjadi anak yang berguna dan dapat membantu orang ramai,” ujarnya.

Dia juga menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Google yang memberikan hadiah kepada anaknya dan tidak menjangkakan kejutan itu.

Meskipun pada awalnya kurang bersetuju dengan nama yang diberikan oleh suaminya, Ella kini percaya bahawa nama unik anaknya mempunyai kelebihan tersendiri.

Sumber: Kosmo

Ikuti kami di :