Cacing Pita Lebih 1 Meter Dikeluarkan Dari Dalam Perut Pesakit

Cacing Pita Lebih 1 Meter Dikeluarkan Dari Dalam Perut Pesakit

Masalah kecacingan  tidak hanya berlaku kepada kanak-kanak malah orang dewasa juga boleh mempunyai masalah kecacingan sekiranya tidak menjaga kebersihan.

Ini yang terjadi kepada seorang lelaki dari India apabila satu rakaman video menggerunkan memaparkan doktor bedah mengeluarkan seekor cacing pita yang panjang melebihi 1 meter dari dalam perut lelaki berkenaan, lapor akhbar Daily Mail.

Pesakit tersebut yang hanya dikenali sebagai Viren itu berasal dari bandar Jind di negeri Haryana, utara India.

Media tempatan melaporkan, Viren dimasukkan ke Hospital Jaipur baru-baru ini selepas mengadu mengalami sakit perut berterusan selama 15 hari.

Apabila pasukan perubatan memeriksa Viren, mereka mendapati ada sesuatu bergerak di dalam ususnya.

Seorang doktor dilaporkan memberitahu media tempatan bahawa pesakit tersebut dipercayai dijangkiti cacing pita selepas memakan daging babi yang tidak dimasak secukupnya atau tercemar.

Beberapa doktor yang melakukan pembedahan ke atas pesakit itu kemudian mengeluarkan seekor cacing pita sepanjang kira-kira 1.8 meter.

“Cacing ini tergolong dalam keluarga cacing yang dinamakan Taeniidae. Ia ditemui di dalam usus pesakit,” kata pakar bedah di Hospital Jaipur, Dr. DS Pawar.

Nama saintifik cacing pita yang memiliki tubuh rata seperti reben itu ialah Taenia solium.

Jangkitan usus oleh cacing pita dewasa kerap berlaku di negara membangun termasuk di rantau Asia dan Amerika Latin.

Lelaki itu bernasib baik kerana cacing pita boleh mencapai panjang 7 meter dan hidup di dalam badan manusia selama bertahun-tahun, mengakibatkan simptom teruk termasuk sawan babi, demikian menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Sumber: DailyMail

Ikuti kami di :