Guilherme De Paula & Liridon Krasniqi Akan Sarung Jersi Harimau Malaya Tahun Depan

Guilherme De Paula & Liridon Krasniqi Akan Sarung Jersi Harimau Malaya Tahun Depan

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohamad Amin memberi bayangan dua pemain naturalisasi, Guilherme De Paula dan Liridon Krasniqi akan menyarung jersi Harimau Malaya pada tahun depan jika Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan permohonan mereka untuk menukar kerakyatan Malaysia.

Kehadiran dua pemain itu dilihat akan memberikan kekuatan tambahan kepada skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe yang bakal menghadapi saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 mulai bulan September ini jika mereka mendapat lampu hijau daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Daripada naturalisasi, kami tiada pilihan lain selain itu. Jadi, sebab itu apabila saya menjadi presiden, saya umumkan bahawa naturalisasi merupakan projek yang ingin saya buat kerana FIFA membenarkannya.

“Kami harap dapat kelulusan daripada FIFA dan jika semua lancar, insya-Allah tahun depan mereka boleh beraksi buat skuad kebangsaan,” katanay seperti dipetik dalam Stadium Astro.

Foto: FAM

Undian kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 akan berlangsung pada 17 Julai ini di AFC House, dengan Malaysia menghuni balang keempat selepas berada dalam kelompok 32 terbaik Asia.

“Kami sedang hadapi kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia. Ia bermula September tahun ini selama setahun. Jika tidak layak ke situ, masih ada 12 slot untuk kelayakan Piala Asia di China pada 2023, mungkin pada Julai atau Ogos 2020 sehingga pertengahan 2021,” jelas Hamidin.

Sementara itu, pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyifatkan kehadiran dua pemain naturalisasi itu mampu membantu meningkatkan kualiti pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa.

“Apa yang penting, FAM sudah meminta kerakyatan untuk kedua-dua pemain itu. Kita tunggulah bagaimana keputusan tersebut. Jika ia positif, saya akan melihat bagaimana untuk mengawal kedua-dua pemain itu,” katanya dalam Stadium Astro

Foto: FAM

Namun, timbul keraguan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan yang berasakan De Paula tidak layak mewakili negara kerana faktor usia. Tahun ini, beliau berusia 33 tahun dan sudah mempunyai pengalaman beraksi dengan 18 buah kelab sepanjang karier bola sepaknya.

Bagaimanapun, Tan Cheng Hoe berpendapat pemain “kuda tua” itu tetap ada keperluannya dalam skuad negara kerana mempunyai kelebihan dari segi fizikal.

“Daripada segi fizikal dan penyudah daripada De Paula, dia mampu memberi penyelesaian di bahagian depan kami. Liridon pula mempunyai karakter yang baik di atas padang. Dia mempunyai sikap tidak mengaku kalah dan mempunyai kerajinan yang tinggi,” tambahnya.

Sumber: StadiumAstro

Ikuti kami di :