Bingkisan Penuh Makna Daripada Keluarga As-Syahid Mohamed Mursi

Bingkisan Penuh Makna Daripada Keluarga As-Syahid Mohamed Mursi

Tanggal 17 Jun 2019 dunia digemparkan dengan berita pemergian bekas Presiden Mesir Mohamed Morsi yang meninggal dunia ketika perbicaraan yang sedang berlansung di mahkamah.

Morsi rebah selepas penutup sesi perbicaraan di mahkamah dan meninggal dunia sejurus selepas itu. Morsi, 67, hanya sempat berkhidmat selama setahun, sementara organisasi yang dimiliki beliau, Ikhwanul Muslimin, telah diharamkan. Itu harga yang perlu dibayar oleh seorang pejuang.

Satu perkongsian dari keluarga As-Syahid Mohamed Mursi ketika jenazahnya hendak dikebumikan begitu meruntun jiwa. Tulisan itu dibuat oleh anak bongsu As-Syahid dan disahkan benar oleh beliau sendiri ketika diwawancara oleh stesen TV Al-Jazeera dan diterjemah oleh  Ustazah Maznah Daud.

Tiba-tiba wajahnya berubah menjadi cerah, manis dan bercahaya.

Berita gembira yang ingin kami kongsikan kepada anda tentang tatapan terakhir kami, ahli keluarga Presiden yang syahid, Muhammad Mursi ketika kami menghantar jasadnya ke tempat persemadiannya. Dan selepas itu semangat juangnya, amalan-amalannya, kenangan-kenangan indah yang ditinggalkannya terus abadi tersemat di dalam ingatan rakyatnya dan anak bangsanya. Mereka akan terus mengirimkan doa yang penuh dengan rasa cinta dan tidak akan jemu-jemu menyebut kebaikan dan kemuliaan akhlaknya.

Selepas 10 jam kewafatannya, kami masuk ke dalam bilik tempat jasadnya berada di hospital penjara Torah untuk melihat wajahnya buat kali terakhir sebelum dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan. Semoga Allah melimpahinya dengan rahmat yang luas dan memasukkannya ke dalam kalangan hambaNya yang syahid dan soleh.

Kami memasuki bilik tempat mayatnya berada. Yang pertama masuk adalah kesemua anak lelakinya empat orang termasuk Usamah yang berada di dalam tahanan atas tuduhan palsu yang diada-adakan oleh pihak tentera perampas kuasa. Termasuk juga bapa saudara kami, as-Sayyid Mursi, saudara perempuan kami dan bonda kami. Turut memasuki bilik itu bersama kami adalah beberapa orang yang agak ramai dari kalangan pasukan keselamatan pemerintahan tentera inqilab.

Apa yang mengehairankan dan memeranjatkan kami ialah wajahnya amat berbeza dari apa yang kami kenali. Ia kelihatan cengkung dan pucat seperti keadaan orang yang menahan lapar, sakit dan marah.

Kami meminta supaya semua anggota tentera inqilab tidak berada di tempat itu. Biar kami anak beranak sahaja yang menguruskan: memandikan dan mengkafankannya. Mereka semua akur. Kami kunci bilik itu supaya tidak ada siapa yang boleh masuk selain kami.

Maha Suci Allah! Selepas semua tentera keluar dari bilik, kami dapati wajahnya tidak seperti keadaan dia berdepan dengan para tentera yang zalim tadi. Sebaliknya wajahnya kelihatan lebih manis, tenang dan lebih ceria.

Kami mula berdoa untuknya, mengucapkan selamat tinggal dan mengucupnya. Kemudian kami mula menjalankan tugas memandikannya. Tiba-tiba wajahnya berubah menjadi cerah, manis dan bercahaya. Kami semua tidak percaya raut wajahnya berubah sama sekali daripada apa yang kami lihat ketika keberadaan tentera sebentar tadi. Sungguh kami amat kaget dengan apa yang kami saksikan dengan mata kepala di hadapan kami ketika ini.

Sesungguhnya ini bukanlah mukjizat dan bukan hidup selepas mati. Tetapi ia merupakan khabar gembira yang Allah paparkan kepada kami. Dan semakin kami menjirus jasadnya dengan air mandian wajahnya bertambah manis dan berseri-seri.

Sekali lagi Allah paparkan berita gembira kepada kami ahli keluarganya

Dan selesai sahaja kami mengkafankannya, Allah bawakan satu lagi khabar gembira, iaitu berkumandangnya azan Subuh yang mana kami menjadi saksi bahawa al-Marhum Ayahanda kami tidak pernah sekalipun mengabaikan solat Subuh di masjid semenjak kami mula berupaya mengingatinya. Dan ketika berada di dalam penjarapun beliau akan mengkumandangkan azan setiap kali menjelang subuh dan menunaikannya. Dan pada detik dan ketika yang penuh barakah ini, wajah ayahanda kami kelihatan putih bersih, tenang dan bahagia dilimpahi rahmat dari Allah Rabbil-alamin.

Sesungguhnya peristiwa ini disaksikan dan diakui oleh semua ahli keluarganya yang hadir. Ia merupakan satu tanda dan karamah daripada Allah yang dapat ditafsirkan bahawa al-marhum benar-benar menolak untuk tunduk kepada kezaliman dengan hatinya, lidahnya, wajahnya dan seluruh jiwa raganya ketika berada di bawah cengkaman para pengkhianat yang zalim itu. Ia menunjukkan bahawa al-marhum tidak pernah memberi muka kepada mereka. Dan saat bertemu dengan ahli keluarganya, wajahnya terus ceria, redha dan bahagia.

Dan ketika berkumandangnya azan yang merupakan pengikat antara hatinya dengan masjid, saat yang sentiasa ditunggu untuk mengadap Tuhannya, sekali lagi Allah paparkan berita gembira kepada kami ahli keluarganya membuatkan kami yakin bahawa beliau syahid dan mendorong kami untuk terus thabat dan yakin akan kebaikan dan kebenaran jalan ini.

Kami tidak membenarkan tentera-tentera pengkhianat itu mengangkat jasaadnya. Biarlah kami empat beradik yang membawanya ke masjid. Kami menunaikan solat Subuh terlebih dahulu. Dan kami juga tidak membenarkan seorangpun dari kalangan mereka menyembahyangkannya. Kami solat jenazah ke atasnya. Kami memohon agar Allah menerimanya sebagai syahid. Kami membawanya ke kubur diiringi bonda kami, isteri al-marhum.

Kami menurunkan jasadnya dan meletakkannya di dalam liang lahad. Lalu kami singkap kain kafan dari wajahnya.

Subhanallah! Terpancar cahaya dari wajahnya seperti bulan purnama dalam barisan para pejuang dan para syuhada yang telah mendahuluinya. Kami memohon kepada Allah agar menghimpunkan mereka semua di akhirat kelak di dalam syurga yang kekal abadi bersama kekasih mereka dan qudwah mereka, Nabi Muhammad s.a.w. dan menemukan kami dengan mereka tanpa sesat atau disesatkan, dan agar Dia mengangkat segala kezaliman, kesulitan dan bencana yang menyelubungi umat kita di seluruh dunia ketika ini, dan semoga Dia menunjukkan kita kepada kebenaran dengan izinNya.

Sesungguhnya dari Allah kita datang dan hanya kepadaNya jua kita kembali.

Sumber: Tulisan anak bongsu As-Syahid dan disahkan benar oleh beliau sendiri ketika diwawancara oleh stesen TV Al-Jazeera dan diterjemah oleh Ustazah Maznah Daud via Mesir Kini

Ikuti kami di :