Harimau Jinak Masuk Kampung Rupanya Haiwan Peliharaan

Harimau Jinak Masuk Kampung Rupanya Haiwan Peliharaan

Berikutan kejadian yang menggemparkan penduduk Kampung Besol, Bukit Besi dekat Dungun, petang semalam dengan kehadiran seekor harimau belang di kawasan kediaman mereka, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata dua ekor harimau yang ditemui berkeliaran semalam berkemungkinan haiwan peliharaan berdasarkan sifatnya yang jinak.

Dr Abdul Malek berkata, pihaknya mengesyaki dua ekor harimau yang dipercayai seekor betina dan anak jantannya itu adalah haiwan peliharaan yang dilepaskan pemiliknya ke dalam hutan sebelum tersesat memasuki kawasan kampung.

“Selain itu kami juga beranggapan sifat jinak haiwan ini mungkin disebabkan faktor penyakit yang menyebabkan ia (harimau) kelihatan kurang bertenaga sehingga terpaksa dilepaskan ke dalam hutan.

“Bagaimanapun, kami tidak dapat pastikan perkara ini dengan tepat sebelum haiwan itu dapat ditangkap dan jika diikutkan binatang ini secara amnya sukar untuk dapat penyakit,” katanya ketika ditemui di lokasi harimau itu ditemui berkeliaran malam tadi.

Semalam tular di laman sosial mengenai kehadiran dua ekor harimau di Kampung Besul, Bukit Besi 10 pagi dan perkara itu disahkan oleh Dr Abdul Malek.

Dr Abdul Malek berkata, sejak petang semalam, pihaknya mengerah 20 kakitangan PERHILITAN ke lokasi untuk mengesan serta menangkap dua ekor harimau itu.

Beberapa perangkap juga dipasang di lokasi yang dikenalpasti dan diharap berjaya bagi menghilangkan kegelisahan penduduk kampung.

“Oleh itu saya minta untuk sementara waktu ini penduduk menghentikan dulu aktiviti hutan bagi mengelak risiko diserang.

“Jika terserempak jangan cuba bertindak berani dengan mendekatinya kerana bimbang diserang haiwan itu yang merasakan dirinya terancam,” katanya.

Beliau juga menasihati penduduk kampung supaya bertenang dan bersabar kerana PERHILITAN sedang berusaha menangkap kedua-dua harimau itu.

Sumber: HarianMetro

Ikuti kami di :