Kiswah Kaabah Ditenun Dengan 120Kg Benang Emas

Kiswah Kaabah Ditenun Dengan 120Kg Benang Emas

Kiswah ialah kelambu kain yang berwarna hitam bersulam benang emas yang menutupi binaan Kaabah di Kota Suci Makkah al-Mukarramah.

Kiswah lazimnya ditukar dua kali setahun iaitu pada Syaaban sebelum kedatangan bulan suci Ramadan dan sekali lagi pada hari Arafah.

Kiswah yang dihasilkan daripada kain sutera hitam bersulam benang emas dan perak itu berukuran 14 meter tinggi dan 47 meter panjang.

Ia terdiri daripada lima lapisan kain, termasuk tirai yang menutup pintu Kaabah, yang dijahit serta disulam kainnya. Ia memakan masa antara lapan hingga sembilan bulan untuk disiapkan.

Sejumlah 120 kilogram benang emas dan 120 kilogram benang perak digunakan untuk menghasilkan kelambu Kaabah untuk musim kali ini.

Timbalan Pengarah Muzium Senibina dan Kilang Kiswah Dua Masjid Suci, Hisham Alaadin berkata, setiap tahun Kiswah ditenun menggunakan 670 kilogram benang sutera yang disulam dengan benang emas dan perak bagi melindungi binaan Kaabah itu.

Menurut beliau, kain sutera untuk membuat Kiswah dibeli dari Itali dan kosnya meningkat disebabkan kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat dan mata wang Euro.

“Pembuatan Kiswah kini menggabungkan hasil kerja tangan dan juga penggunaan mesin berteknologi bagi memastikan kualiti kelambu Baitullah itu tetap terpelihara,” katanya ketika memberikan penerangan mengenai pembuatan Kiswah kepada delegasi media di kilangnya di pinggir Kota Makkah semalam.

Jelas Hisham lagi, Kiswah pertama dibuat di Makkah pada tahun 1346 Hijrah ketika pemerintahan Almarhum Al Malik Abdul Aziz Abdul Rahman Al Saud.

“Benang sutera bersalut emas dan perak disulam di atas kain hitam membentuk tulisan ayat-ayat al-Quran,” katanya.

Tradisi yang sudah diamalkan sejak sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW dan diteruskan saban tahun. Sejak Kaabah didirikan oleh Nabi Ibrahim (AS), ia dibaluti dengan pelbagai jenis kain. Ada juga riwayat yang menyatakan Kaabah pernah diselubungi dengan kain yang bukan berwarna hitam pekat.

Sebelum 1920an, kiswah dibuat dari sebuah kilang di Mesir yang kemudiannya Raja Abdul Azizi Abdul Rahman Al-Saudi membina kilang Kiswah di Jiyad pada 1927.

Sumber: Sinarharian

Ikuti kami di :