Tokyo Bertukar Jadi ‘Bandar Hantu’ Setelah Dilanda Taufan Hagibis

Tokyo Bertukar Jadi Bandar Hantu Setelah Dilanda Taufan Hagibis

Angka kematian akibat Taufan Hagibis yang membadai bahagian tengah dan timur Jepun hari ini meningkat kepada 25 orang.

Taufan Hagibis yang membawa hujan lebat dan angin kencang membadai kawasan Tokyo, Shizuoka dan bahagian utara Jepun, Chiba.

Hagibis yang membawa hujan lebat dan angin kencang mula membadai negara matahari terbit itu semalam.

Menurut laporan Kyodo News yang memetik kenyataan pihak berkuasa menyebut, seramai 15 mangsa masih hilang dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.

Arahan pemindahan telah dikeluarkan dan menyebabkan gangguan kepada sistem pengangkutan dan gangguan bekalan elektrik. Perkhidmatan pengangkutan utama di Tokyo terjejas apabila jadual penerbangan dan perjalanan kereta api dibatalkan buat sementara waktu sehingga keadaan kembali pulih.

Bandar Tokyo yang kebiasaanya sibuk dan sesak dengan orang kini sunyi sepi. Melalui perkongsian beberapa netizen di Twitter, menunjukkan keadaan bandar Tokyo yang sunyi seperti sebuah bandar hantu yang tidak berpenghuni.

Kebanyakan rakyat Jepun hanya tinggal dalam rumah dan menjadikan bandar Tokyo kelihatan kosong dan tidak berpenghuni.

Lebih 100 orang dilaporkan cedera manakala ratusan ribu penduduk terutama di Tokyo dinasihatkan berpindah.

Stesen penyiaran awam NHK melaporkan, rumah di sepanjang sungai Chikuma di bandar Nagano hampir ditenggelami sepenuhnya sehingga memaksa penduduk memanjat bumbung untuk menyelamatkan diri.

Sekurang-kurangnya seorang penduduk terpaksa diselamatkan menggunakan helikopter penyelamat.

Sumber: TheVocket

 

Ikuti kami di :