Kereta ‘terbang’ tak jadi terbang esok

Sesi ujian dirancang bagi ‘kereta terbang’ atau Dron model UAS E-Hang 216 (EH216) yang dijadualkan esok, tidak mendapat kebenaran Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

CAAM menerusi kenyataan berkata, lokasi penerbangan ujian penerbangan terbabit yang dijadualkan di UNIKL MIAT Hangar Subang, terletak kurang 200 meter dari trafik syarikat penerbangan komersial dan helikopter.

Kata kenyataan itu, ia jelas di dalam Zon Kawalan Terminal Lapangan Terbang Subang yang berada di bawah pengawasan ketat oleh Kawalan trafik udara.

“Di samping itu, EH216 hanya mengeluarkan Permit Penerbangan Khas (SFP) oleh Pentadbiran Penerbangan Awam China yang terhad kepada menjalankan penerbangan penyelidikan dan pembangunan di Grand World Science Park, Guangzhou.

“CAAM juga menjalankan penyiasatan terhadap pihak yang menjalankan penerbangan demonstrasi tidak sah yang membabitkan EH216 pada 15 November lalu di kawasan sama dalam Lapangan Terbang Subang,” katanya.

CAAM berkata, pihaknya menyokong pembangunan industri aeroangkasa di Malaysia, namun ujian dan demonstrasi penerbangan mesti dijalankan mengikut Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 (MCAR 2016) bagi memastikan keselamatan terjamin.

“CAAM juga ingin menyatakan bahawa kami terbuka untuk mempertimbangkan permintaan untuk penerbangan ujian EH216 di lokasi yang sesuai,” katanya.

Isnin lalu, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, mengumumkan sesi pandu uji kereta terbang pertama negara dijangka dilakukan buat pertama kali, esok.

Beliau akan menyertai pandu uji kenderaan yang boleh memuatkan dua orang itu.

Menyatakan ia akan dijalankan di Subang, beliau turut mengundang Ahli Parlimen pembangkang menyaksikan sendiri sesi pandu uji kereta terbang berkenaan, bagi menampilkan kenderaan yang menggunakan ruang udara sebagai platform.

Sumber : bh

Ikuti kami di :