Bapa Terlupa, Bayi Ditinggal 4 Jam Dalam Kereta Sebelum Meninggal

Semalam telah tular satu berita sadis seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan yang ditemui mati di dalam kereta di Indera Mahkota, Kuantan.

Bayi malang berkenaan dipercayai ditinggalkan di dalam kenderaan itu kira-kira empat jam.

Annur Jannatul Syuhada Mohd Khalil tertinggal dalam kenderaan itu akibat bapanya yang berusia 38 tahun terlupa menghantar bayi itu ke taska sebelum ke tempat kerja di Kompleks Tun Razak (Komtur) di Indera Mahkota.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu hanya ditemui ketika bapanya keluar makan tengah hari pada waktu rehat berkerja, kira-kira 1 tengah hari.

Berdasarkan siasatan, bapa bayi itu sepatutnya menghantar mangsa ke sebuah taska di Indera Mahkota 15.

Bagaimanapun, bapa bayi berkenaan terlupa menghantar bayi berkenaan ke taska itu sebelum ke tempat kerja dan mangsa ditinggalkan di dalam kereta kira-kira empat jam, bermula 9 pagi.

Menurut kenyataan pihak polis, sebelum kejadian, bapa bayi itu menghantar anak perempuan sulung berusia 10 tahun ke sebuah sekolah di Kampung Chendering, pada 7.20 pagi.

Selepas itu, lelaki terbabit pulang ke rumah mengambil isteri berusia 39 tahun untuk dihantar ke tempat kerja, selain seorang lagi anak perempuan berusia enam tahun dan mangsa.

Pada 8.25 pagi, dia menghantar anak perempuannya itu ke sekolah yang sama untuk sesi prasekolah sebelum menghantar isteri ke tempat kerja di Indera Mahkota.

Lelaki itu sepatutnya menghantar bayinya ke taska, sebaliknya dia terus menuju ke tempat kerjanya di Komtur.

Mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan untuk bedah siasat.

Siasatan terperinci akan dijalankan dengan mengambil kira semua aspek, termasuk salah laku jenayah dan kecuaian.

Berita disunting dari Harian Metro

Ikuti kami di :