Benarkah Dakwaan Ikan Singgang Mampu Sembuhkan Wabak COVID-19?

Beberapa hari lepas telah tular beberapa pendapat di kalangan netizen yang membincangkan bagaimana juadah ikan singgang boleh menjadi penawar kepada wabak Covid-19 yang melanda sedang dunia ketika ini.

Perbincangan itu dipercayai berpunca daripada salah faham mereka yang mendengar kenyataan salah seorang pensyarah dari Universiti Malaysia Terengganu sebelum ini.

Menurut laporan Harian Metro, kenyataan itu dipercayai dibuat oleh pensyarah Fakulti Perikanan dan Sains Makanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Azizah Mahmood.

Pensyarah Fakulti Perikanan dan Sains Makanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Azizah Mahmood tampil menjelaskan kekeliruan.

Tidak mahu salah faham tersebut terus berlanjutan, beliau kemudiannya tampil memberikan penjelasan sebenar mengenai kenyataan awal yang dikeluarkannya.

“UMT tidak pernah menjalankan apa-apa kajian berkaitan ikan singgang serta Covid-19 itu, dan tidak mengesahkan menu itu mujarab untuk merawat penyakit berkenaan.

“Bagaimanapun, berdasarkan banyak kajian yang dijalankan ke atas bahan-bahan yang ada dalam menu tradisional itu, ia berkemungkinan berpotensi untuk merawat,” jelasnya.

Walaupun bahan-bahan yang terdapat dalam juadah masyarakat Melayu itu seperti lengkuas, kunyit, halia dan bawang putih berpotensi untuk merawat, namun dia tidak dapat mengesahkan sama ada ikang singgang mujarab untuk Covid-19.

“Bukan senang sebenarnya untuk mengesahkan menu ikan singgang itu mujarab kerana hanya melalui kajian tertentu sahaja dapat mengesahkannya.

“Oleh itu saya harap orang ramai jangan keliru dengan kenyataan saya itu kerana ujian klinikal tidak pernah dijalankan ke atas menu ikan singgang dan Covid-19,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Tambahnya lagi, kajian yang dilakukan banyak pihak sebelum ini membuktikan bahan-bahan yang digunakan untuk memasak ikan singgang boleh memusnahkan mikrob, namun mengingatkan ujian klinikal tidak pernah dijalankan ke atas menu ikan singgang dan Covid-19.

Sumber: VOCKET

Ikuti kami di :