Solat Jumaat Diteruskan, Khutbah Perlu Pendek, Mereka Yang Positif Tidak Perlu Hadir Solat Jumaat – Dr Zulkifli

Berdasarkan situasi semasa jangkitan wabak COVID-19 di Malaysia, bilangan jangkitan setakat jam 6 petang rabu ialah sebanyak 149 kes penambahan 20 kes baru.

Penambahan ini telah mendapat perhatian dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau menyeru solat Jumaat perlu diteruskan seperti biasa ketika ini walaupun negara dilanda wabak COVID-19

Ambil langkah berjaga-jaga, khutbah perlu pendek

Zulkifli bagaimanapun menasihatkan pihak masjid serta orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memendekkan khutbah Jumaat bagi mengurangkan masa berkumpul.

“Kami berpendapat solat Jumaat adalah sepatutnya kita lakukan walaupun dalam keadaan sebegini… ambil hukum asal solat Jumaat tetap wajib, cuma beberapa syarat dilaksanakan seperti khutbah dipendekkan serta orang ramai berwuduk di rumah.

“Pihak masjid juga hendaklah menyediakan cecair pembasmi kuman serta penutup hidung dan mulut sebagai langkah pencegahan dan keselamatan,” katanya selepas menyampaikan Tausiyah Am kepada kakitangan agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, pada Khamis.

Sebelum itu, Dr Zulkifli turut mengimamkan solat sunat dhuha dan hajat bersama kakitangan agensi terbabit.

Mereka yang positif COVID-19 tidak perlu hadir solat Jumaat

Sementara itu, beliau berkata, mereka yang disahkan positif COVID-19 tidak perlu hadir solat Jumaat kerana termasuk dalam golongan orang yang sakit.

Beliau juga menjelaskan, sekiranya wabak COVID-19 menjadi tidak terkawal, maka solat Jumaat boleh digantikan dengan solat Zohor di rumah.

Dr Zulkifli menjelaskan, isu solat Jumaat ketika negara dilanda wabak COVID-19 merupakan antara lima kertas kerja yang disediakan untuk dikemukakan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan.

“Sebenarnya kami telah sediakan lima kertas kerja untuk dimasukkan dalam (persidangan) majlis fatwa, pertamanya masalah tentang solat Jumaat.

“Kedua masalah bersalaman, ketiga masalah kenduri kahwin, keempat masalah pengurusan jenazah dan kelima beberapa saranan lain yang kami kemukakan,” katanya.

Beliau menjelaskan pihaknya akan memaklumkan perkara berkenaan dalam masa terdekat.

Berita disunting dari Awani

Ikuti kami di :