WHO Isytiharkan COVID-19 Sebagai Pandemik

Akibat penularan wabak COVID-19 tidak terkawal malah telah menjangkiti manusia di banyak negara di seluruh dunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkategorikan situasi penularan COVID-19 sebagai pandemik.

Perkara itu diumumkan menerusi akaun Twitter rasmi pertubuhan itu, yang antara lain menyatakan penilaian terkini dibuat setelah memantau penularan dan kemudaratannya.

“WHO telah menilai penularan ini sepanjang masa dan sangat bimbang dengan tahap penyebaran dan kemudaratannya, juga mengambil kira tahap tindakan yang tidak mencukupi.

“Oleh itu, kami telah membuat penilaian bahawa COVID-19 boleh dikategorikan sebagai pandemik,” kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Apa itu pandemik?

Pandemik bermaksud suatu wabak itu telah tersebar dalam skop yang lebih luas, merentasi sempadan. Sebelum ini, istilah epidemik digunakan untuk wabak COVID-19 ini dimana wabak itu hanya tertumpu kepada satu kawasan dan komuniti.

Menurut Tedros lagi, pandemik bukan suatu istilah yang boleh digunakan secara ringan atau kurang teliti. Ia adalah istilah, yang jika disalah guna, boleh mengakibatkan ketakutan yang tidak sepatutnya, atau persepsi bahawa penentangan terhadapnya sudah berakhir, hingga menyebabkan penderitaan dan kematian yang tidak perlu.

WHO juga mengesahkan bahawa virus berkenaan telah menjangkiti lebih 118,000 orang di 114 negara dan meragut 4,291 nyawa setakat ini serta angka terbabit dijangka akan terus meningkat.

Malah, penularan wabak ini semakin membimbangkan di Eropah, Ireland, Albania, Belgium, dan Sweden serta Bulgaria mencatat kematian pertama semalam.  

Itali turut merekodkan lebih 2,300 kes baharu dalam tempoh 24 jam dan jangkitan di Sepanyol pula melonjak mencecah lebih 2,100 orang.

Berita disunting dari Awani

Ikuti kami di :