Seramai 849 Disahkan Terkorban Dalam Tempoh 24 Jam Di Sepanyol

Sepanyol sekali lagi memecahkan rekod baharu apabila 849 individu disahkan terkorban dalam tempoh 24 jam akibat pandemik Covid-19.

Ia membawa jumlah keseluruhan yang maut akibat wabak berkenaan mencecah 8,189.

Peningkatan berkenaan berlaku sehari selepas penurunan kes dicatatkan pada hari sebelumnya, memberi harapan bahawa wabak itu akan mencapai tempoh kemuncak di Sepanyol, yang kini menjadi negara kedua tertinggi mencatatkan mangsa Covid-19 selepas Itali.

Dalam tempoh 24 jam juga, seramai 9,222 individu disahkan positif wabak berkenaan dengan jumlah keseluruhan 94,417 kes.

Sementara itu di Amerika Syarikat (AS) Donald Trump meramalkan kes kematian akibat Covid-19 di negara itu akan memuncak dalam tempoh dua minggu lagi.

Dalam satu taklimat televisyen di White House, Trump berkata, susulan ramalan itu, kerajaan memutuskan memanjangkan tempoh panduan penjarakkan sosial sehingga 30 April bagi memperlahankan penularan wabak itu.

Trump menyampaikan ramalan itu berdasarkan penasihat perubatannya, Anthony Fauci, yang menganggarkan wabak itu boleh menyebabkan 100,000 hingga 200,000 kematian di negara itu.

Sehingga kini, AS merekodkan 123,750 kes jangkitan dengan 2,227 angka kematian.

Berita disunting dari HarianMetro

Ikuti kami di :