4 Tahun Jadi Doktor Palsu Rupanya Hanya Lulus Darjah 5

Setelah 4 tahun menyamar sebagai doktor, dan telah berkhidmat di 16 buah hospital, seorang lelaki India bernama Veeragandham Teja, akhirnya telah dikantoikan oleh isterinya sendiri.

Menurut keterangan pegawai polis di Rachakonda, apa yang lebih mengejutkan Veeragandham Teja hanya belajar setakat darjah lima dan tidak pernah mendapat pendidikan dalam bidang perubatan. Malah, dia juga telah memimpin kem perubatan dan menjadi sukarelawan ketika penularanan wabak pandemik COVID-19.

Teja bekerja sebagai doktor selama empat tahun sebelum rahsianya terbongkar hanya selepas isterinya membuat laporan polis.

Bagaimanapun, laporan itu hanya mendakwa lelaki terbabit melakukan penipuan apabila menyembunyikan perkahwinan pertamanya.

Selain itu, wanita berkenaan mendakwa Teja melakukan gangguan fizikal dan mental terhadapnya.

Polis kemudian melakukan siasatan lanjut sebelum satu-persatu penipuan yang pernah dilakukan Teja terbongkar.

Hasil pemeriksaan, lelaki itu memiliki sijil akademik palsu dan mencipta pelbagai identiti serta melakukan pelbagai penipuan dengan menyamar sebagai pegawai polis, doktor dan pernah mengaku sebagai saudara terdekat kepada Ketua Menteri Andhra Pradesh.

“Dia sangat bijak. Bertindak licik apabila menemui seseorang yang dia suka dan tidak disukai.

“Walaupun pernah ditahan di Bangalore kerana menipu dan menyamar sebagai pegawai polis, dia tetap berjaya melindungi identitinya sebagai doktor,” kata seorang pegawai kanan polis dari Rachakonda.

Ketika memulakan kerjaya doktor, Teja ditahan oleh polis kerana menyamar sebagai pegawai polis dan menggunakan kenderaan rasmi sebagai anak pegawai kanan polis, namun dia terlepas daripada kes berkenaan.

Sejak itu, lelaki itu meneruskan kerjayanya sebagai doktor di beberapa hospital pakar terkemuka.

Dengan asas kemahiran perubatan yang dipelajarinya ketika menjalani latihan praktikal, tiada siapa mengesyaki penipuan dilakukannya.

Hakikatnya, lelaki itu sebenarnya tidak menamatkan persekolahan dan sekadar belajar sehingga kelas lima.

Dia kemudian melarikan diri dari rumah pada 2005 dan menjelajah bandar besar seperti Tirupati, Howrah dan Lucknow dengan menjual minuman dan snek dalam kereta api sebelum menemui seorang individu, Dr YS Purushottam Reddy yang menawarkan kerja kepadanya.

Dr Reddy kemudian menawarkan tempat tinggal dan bantuan kewangan kepada Teja, membantunya mendapatkan lesen memandu dan kad pengenalan pemilih atas alamatnya serta beberapa dokumen penting lain.

Teja kemudian menggunakan nama keluarga Dr Reddy, YS sebelum memperoleh sijil palsu kelas 10 dan 12 dan membeli sijil Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) dengan bantuan syarikat konsultan pendidikan di New Delhi.

Ketika ini, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

Terjemahan indiatimes.com

Ikuti kami di :