Ini Yang Perlu Anda Tahu Mengenai Pelan Pemulihan Negara

Strategi Pelan Pemulihan Negara merangkumi empat fasa dan akan melibatkan pelan peralihan fasa PKP secara berperingkat. Setiap fasa pelan pemulihan berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama ataupun threshold untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

Indikator Pertama: keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian;Indikator Kedua: keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di Wad ICU; dan Indikator Ketiga : Tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin. Kerajaan timbang peralihan daripada fasa pertama kepada fasa kedua PKP setelah:

● Purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes;

● Sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal termasuk kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana; dan

● 10 peratus populasi telah menerima 2 dos suntikan vaksin.

Fasa Kedua merupakan kesinambungan daripada Fasa Pertama dengan aktiviti sosial dan kawalan pergerakan terus dikawal dengan ketat. Semasa Fasa Kedua:

● Aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80% di premis;

● Pendekatan senarai positif diteruskan iaitu hanya sektor yang tersenarai dibenarkan beroperasi manakala yang tidak tersenarai masih ditutup. Senarai positif daripada Fasa 1 akan juga diperluaskan semasa Fasa 2 dengan menambahkan beberapa sektor; dan

● Aktiviti sosial dan rentas negeri masih tidak dibenarkan.

Fasa 3 – semua aktiviti pembuatan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada SOP dan had kapasiti. Senarai negatif Fasa 3 yang tidak dibenarkan beroperasi merujuk kepada aktiviti berisiko tinggi kerana melibatkan keramaian seperti penganjuran konvensyen dan di mana penjarakan sosial tidak dapat diamalkan seperti pub, spa dan salon kecantikan.

Kelonggaran kepada had kapasiti akan dipertimbangkan untuk membolehkan syarikat beroperasi sepenuhnya setelah pekerjanya telah divaksinasi. Sidang Parlimen boleh diadakan dalam Fasa 3 iaitu sekitar bulan September atau Oktober dengan mengikut SOP yang ketat.

Daripada Fasa Ketiga, kita akan dapat beralih kepada Fasa Keempat sekiranya kita berjaya mencapai nilai ambang berikut, iaitu:

● Purata kes harian COVID-19 menurun ke paras bawah 500 kes;

● Sistem kesihatan awam berada di paras selamat termasuk kadar penggunaan katil di ICU di paras mencukupi; dan

● 60 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin. Berdasarkan unjuran pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, peralihan ini dijangka dapat dilaksanakan seawal akhir bulan Oktober 2021.

Fasa Keempat adalah fasa terakhir Pelan Pemulihan Negara di mana kita seboleh mungkin dapat kembali semula kepada norma kehidupan seharian. Semua sektor ekonomi akan dibuka, lebih banyak aktiviti sosial akan dibenarkan, perjalanan rentas negeri dibolehkan dan pelancongan domestik juga akan dibuka tertakluk kepada SOP yang ketat.

Fasa ini dapat dilaksanakan apabila bilangan kes COVID -19 adalah rendah, sistem kesihatan awam di tahap selamat dan program vaksinasi telah mencapai tahap imuniti berkelompok atau herd immunity selewatnya pada akhir tahun ini.

Sumber: Bernama

Ikuti kami di :